Dua beradik maut kemalangan ketika mahu ziarah kubur bapa
MELAKA - Perjalanan dua beradik untuk menziarahi pusara bapa mereka yang meninggal dunia 10 bulan lalu, tidak kesampaian selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Lebuh SPA dekat Stadium Hang Jebat, Krubong di sini pada petang Isnin.
Kejadian yang berlaku jam 6.15 petang itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Amirul Hazlin,18, dan adiknya Nur Afiqah Sofea, 5, disahkan doktor meninggal dunia pada jam 7.40 malam dan 12.30 pagi Selasa ketika dirawat di Zon Merah Hospital Melaka.
Lebih menghibakan insiden yang menimpa anak sulung dan bongsu daripada tiga beradik itu disaksikan sendiri ibu mereka, Norizan Ujak, 40, yang mengekori dari belakang dengan menunggang sebuah motosikal lain untuk ke Tanah Perkuburan Islam Bertam Ulu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian dua beradik itu menunggang motosikal jenis Demak DV110 dipercayai dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh menghala ke Sungai Udang.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, mangsa yang merupakan penunggang motosikal terbabit dipercayai tidak perasan sebuah tong sampah roro berada di bahu jalan sebelum merempuhnya.
"Impak kemalangan itu kedua-dua mangsa cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut di zon merah.
"Namun doktor mengesahkan Muhammad Amirul meninggal dunia pada jam 7.40 malam diikuti adiknya kira-kira 12.30 pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, mayat mangsa akan dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.
“Polis juga telah mengesan pemilik tong sampah roro terbabit dan saksi bebas yang melihat kejadian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!