Dunia menua infra yang uzur

Penyenggaraan jalan akibat lebihan muatan dan usia jalan memerlukan peruntukan secukupnya.
Penyenggaraan jalan akibat lebihan muatan dan usia jalan memerlukan peruntukan secukupnya.
A
A
A

DUNIA ini memang semakin menua. Itu hakikat! Asia mendahului trend ini, dengan Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun dijangka mempunyai sehingga 40 peratus rakyatnya berumur 65 tahun ke atas menjelang 2050 seperti yang dilaporkan World Economic Forum 2023.

Malaysia tidak terkecuali. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), menjelang 2030 peratusan penduduk yang berumur 65 tahun dan lebih akan meningkat kepada 7.3 peratus pada 2022 berbanding tujuh peratus pada tahun 2021.

Laporan itu juga mengunjurkan populasi tua melebihi 60 tahun akan meningkat kepada 15.3 peratus menjelang tahun 2030 berbanding hanya 11.1 peratus atau 3.6 juta pada tahun 2022.

Itu manusia ciptaan Tuhan. Apa pula definisi tua bagi infrastruktur ciptaan manusia? Untuk artikel ini kita juruskan kepada bangunan, jambatan, jalan raya dan lebuh raya sahaja. Ada bangunan, jambatan dan jalan raya di Malaysia yang dibina sebelum merdeka lagi.

Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR), terdapat bangunan telah berusia lebih 100 tahun seperti Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka, Bangunan Keretapi Tanah Melayu di Kuala Lumpur; Kellie's Castle di Perak dan Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang baharu selesai dinaik taraf dan dipulihara.

“Tiada masalah bab bangunan terutama yang mempunyai nilai sejarah. Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Bandar (GPP PSB) dan Jabatan Warisan Negara sentiasa memberikan pemerhatian yang wajar kepada bangunan-bangunan tua yang memiliki nilai sejarah,” jelas KKR.

Lebuh raya juga belum timbul masalah kerana kebanyakan lebuh raya di Malaysia boleh dianggap masih muda.

Malah, ia belum bermasalah kerana tahap penggunaan yang belum maksimum kecuali waktu puncak di samping penyenggaraan yang baik oleh konsesi lebuh raya itu sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Lain pula dengan jalan raya. Ianya berlapis-lapis meliputi bahu jalan, pavemen dan bukan pavemen, garisan jalan termasuklah sub-struktur dibawahnya seperti pembetungan.

“Infra jalan raya dikira telah tua jika telah melebihi tempoh kemampuan ketahanan jalan pada kadar maksimum 10 tahun kitaran hayat penyenggaraan jalan. Itu didasarkan kepada Manual For The Structural design of Flexible Pavement ATJ 5/85 (Pindaan 2013).

“Sesebuah jalan raya akan lebih cepat ’reput’, rosak dan membahayakan jika ia dilalui kenderaan tanpa mengikut spesifikasi berdasarkan bebanan dan bilangan kenderaan yang melaluinya serta bahan binaan yang digunakan,” kata KKR.

Densiti kenderaan mungkin berubah semasa perancangan ketimbang lima atau 10 tahun selepas pembinaan. Lebih parah jika jalan itu tidak diselenggara secara berkala mengikut jadual.

Mengikut laporan, kebanyakan jalan raya di Malaysia ini telah mencapai kitaran hayat penyenggaraan melebihi tempoh 10 hingga 15 tahun terutama jalan persekutuan.

Berdasarkan Sistem Pengurusan Aduan Awam dan Apps MyJalan, antara aduan yang banyak diterima meliputi jalan berlubang dan rosak disebabkan kenderaan yang melebihi muatan.

Aduan lain yang diterima melalui Apps MyJalan ialah jalan rosak akibat kerja penyenggaraan utiliti, bencana dan kegagalan struktur asas jalan serta tidak disenggara dengan betul dan berkala.

Kerja penyenggaraan

Struktur jalan FT66 Dabong-Jeli yang runtuh memerlukan bajet pembaikan yang tinggi.
Struktur jalan FT66 Dabong-Jeli yang runtuh memerlukan bajet pembaikan yang tinggi.



Amalan penyenggaraan yang baik adalah memperbaharui muka struktur pavemen setiap lima hingga tujuh tahun dan kerja pembaikan dilaksanakan mengikut kaedah rawatan terancang. Pastinya semua itu memerlukan sumber kewangan yang bukan sedikit.

Menurut Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, KKR memerlukan sekurang-kurangnya RM4 bilion untuk melaksanakan kerja penyenggaraan jalan persekutuan yang terancang dan baik.

“Mungkin kerana kekangan bajet KKR hanya menerima sekitar RM1 bilion sahaja iaitu 25 peratus dari keperluan sebenar,” katanya.

Beliau berkata, bandingkan jumlah kilometer (km) jalan persekutuan iaitu 18,092.45 km di mana semenanjung 14,852 km dan Sabah dan Sarawak 3,240.34 km.

“Peruntukan tersebut membolehkan hanya 4,532 km yang mampu dirawat dan disenggara tanpa mengambil kira lebar jalan. Apa jadi dengan baki 10,330 km?

“Inilah yang boleh menjadikan jalan raya kita lebih cepat tua dari umurnya yang sebenar. KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana perlu merancang kerja dengan memberikan keutamaan kepada yang lebih prioriti dan ini akan menjejaskan imej KKR dan JKR sekali gus imej kerajaan itu sendiri,” kata Alexander.

Bagi jalan negeri dan perbandaran, kerajaan memberikan peruntukan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) untuk penyenggaraan.

Apa pula yang akan terjadi kepada jalan sekunder, jalan masuk Felda, jalan masuk lembaga kemajuan wilayah, jalan masuk ke kawasan perindustrian dan jalan masuk ke institusi persekutuan?

Tiada alternatif lain kecuali terpaksa menunggu masa yang lama untuk dilaksanakan pusingan penyenggaraan dan ini akan menambahkan bilangan usia jalan-jalan tersebut.

5,000 km jalan raya perlu diselenggara

Dianggarkan terdapat jalan raya sepanjang 3,653 km yang sangat memerlukan kerja penyenggaraan dalam tahun 2024.

Di samping itu, sepanjang 1,500 km jalan persekutuan didapati telah sangat tua melebihi tempoh 10 tahun kitaran hayat penyenggaraan.

Hal ini mengakibatkan terdapat lebih 5,000 km jalan yang tidak dapat disenggara sebagaimana sepatutnya.

Ini belum lagi soal jambatan dan pembetungan. Banyak paip logam beralun (PLB) yang digunakan sebagai pembetungan telah mencapai tempoh hayat serta berisiko untuk pecah.

Menurut laporan, rata-rata PLB telah berusia melebihi 30 tahun. Sekiranya PLB ini mengalami kegagalan, jalan tersebut akan mengalami pemendapan sehingga berlakunya lubang benam seperti di Masjid India, Kuala Lumpur baru-baru ini dan boleh menyebabkan jalan terputus.

Kebelakangan ini, sekitar lima jambatan atau pembetung mengalami kegagalan setiap tahun dan menunjukkan trend peningkatan setiap tahun.

Justeru Bajet 2025 perlu memberi penekanan kepada penyenggaraan jalan raya dan jambatan di Malaysia yang telah berusia dan memerlukan penyenggaraan segera.

Bak kata pepatah Inggeris, Prevention Is Better Than Cure, penyenggaraan jalan raya dan jambatan harus diutamakan sebelum ia rosak dan runtuh yang akan menelan kos lebih kepada kerajaan dan banyak nyawa menjadi mangsa akibat kemalangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!