100 rumah rosak dihentam angin kuat
NILAI - Sekurang-kurangnya 100 rumah di sekitar Mantin di sini mengalami kerosakan pada bahagian bumbung susulan hujan lebat berserta angin kuat petang Isnin.
Kejadian kira-kira jam 5 petang itu turut menyebabkan lebih 20 kejadian pokok tumbang dilaporkan, namun tiada kemalangan jiwa berlaku.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar berkata, kejadian berkenaan melibatkan beberapa taman perumahan antaranya Taman Sri Damar, Taman Desa Mantin, Kampung Baru Mantin, Taman Andalas dan Pekan Mantin.
"Kawasan paling banyak terjejas adalah Taman Desa Mantin, ada lebih 50 buah rumah yang rosak.
"Tapi kita bersyukur tiada yang dilaporkan cedera, cuma ada sebuah kereta yang rosak terkena pokok tumbang," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurut Arul, pihaknya telah mengarahkan kerja-kerja pembaikan segera dilakukan kepada rumah penduduk yang terlibat.
Ujarnya, sebanyak lima kontraktor dilantik untuk melakukan kerja-kerja tersebut dan ia membabitkan peruntukan daripada pejabat ADUN Nilai dan Ahli Parlimen Seremban.
"Kita akan cuba siapkan kerja-kerja pembaikan bumbung ini hari ini juga kerana kita tak boleh tunggu, lebih-lebih lagi keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang.
"Saya dapati ada rumah yang separuh daripada bumbungnya telah diterbangkan angin dan seingat saya ini kejadian paling teruk berlaku dalam tempoh 15 tahun ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!