Tujuh teras perkasa Maritim Malaysia

Mohd Rosli menyampaikan visi dan tujuh teras pasukan pada Majlis Amanat Ketua Pengarah Maritim Malaysia di Putrajaya pada Isnin.
Mohd Rosli menyampaikan visi dan tujuh teras pasukan pada Majlis Amanat Ketua Pengarah Maritim Malaysia di Putrajaya pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tujuh teras ditekankan bagi terus memperkasakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, teras itu ialah kepimpinan proaktif dan inklusif, taat setia, pembangunan modal insan dan organisasi, pengukuhan tatakelola, kesiapsiagaan aset, penggunaan teknologi terkini serta pengukuhan jalinan kerjasama.

Mohd Rosli (dua dari kiri) menyampaikan visi dan tujuh teras pasukan pada Majlis Amanat Ketua Pengarah Maritim Malaysia di Putrajaya pada Isnin.
Mohd Rosli (dua dari kiri) menyampaikan visi dan tujuh teras pasukan pada Majlis Amanat Ketua Pengarah Maritim Malaysia di Putrajaya pada Isnin.

Katanya, segala sumber, latihan serta keperluan agensi ini akan diusahakan dalam memastikan Maritim Malaysia terus cemerlang seiring visi untuk menjadi antara agensi penguatkuasaan maritim terbaik di dunia.

"Bina budaya kepimpinan, akauntabiliti, integriti dan saling menghormati merupakan visi Maritim Malaysia.

"Sikap berkenaan perlu ditonjolkan oleh warga Maritim Malaysia di semua peringkat melalui kapasiti dan peranan masing-masing berpandukan kepada Tujuh Teras Pemerkasaan Maritim Malaysia yang menjadi tonggak utama dalam mewujudkan reformasi agensi ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Amanat Ketua Pengarah Maritim Malaysia di sini pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Kepten Kehormat Maritim, Tuan Mohd Norzam Mustapa.

Artikel Berkaitan:

Tegas Mohd Rosli, semua pegawai dan anggota perlu menjadi sebuah pasukan yang sentiasa bersedia, profesionalisme, berkemahiran serta mempunyai komitmen yang teguh bagi melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan.

Jelasnya, kepentingan pemerkasaan operasi perlu ditekankan berikutan cabaran yang semakin dinamik dihadapi Maritim Malaysia seperti isu pencerobohan, pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, penangkapan ikan secara haram, penyeludupan dadah dan kontraban.

"Komitmen saya adalah untuk memperkukuhkan dan memodenkan aset-aset Maritim Malaysia melalui projek perolehan yang telah dirancang seperti Kapal MPMS (Multipurpose Mission Ship), Kapal Ex USCG Cutter serta empat buah helikopter AW189.

"Pegawai dan anggota juga perlu menyesuaikan diri, berinovasi dan memiliki perkembangan modal insan dalam menjalankan tugasan yang telah dipertanggungjawabkan," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Rosli turut merakamkan penghargaannya kepada kepimpinan tertinggi negara di atas kepercayaan yang diberikan dengan melantik beliau sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia baharu pada 17 September lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!