Tindakan mahkamah tambah beban AKSB - Nik Saiful Adli
KOTA BHARU - Tindakan Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) mengheret 7,270 pelanggan ke mahkamah susulan kegagalan melunaskan tunggakan bil air hanya bakal menambah bebanan kewangan syarikat air berkenaan.
Penasihat Undang-undang Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Nik Saiful Adli Burhan berkata, AKSB sepatutnya berusaha melihat sejauh mana perkhidmatan mereka memberi manfaat kepada rakyat.
Menurut beliau, kos guaman bagi setiap kes akan membazirkan wang yang akhirnya menambah kerugian AKSB.
"Tidak cukupkah lagi lebih 270,000 pelanggannya membayar setiap bulan sehingga 2 peratus pelanggan ini juga yang dikejar.
"Saya tidak rasa ada dalam kalangan lebih 7,000 pengguna itu berhutang dengan AKSB sehingga RM100,000 dan perlu dikenakan kebankrapan oleh mahkamah," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
AKSB dalam satu kenyataan yang dimuat naik melalui Facebook sebelum ini memaklumkan, jumlah itu melibatkan akaun pengguna dalam tempoh dua tahun iaitu 2022 dan 2023.
Tahun 2022 melibatkan 3,316 akaun pengguna dengan nilai tunggakan berjumlah RM2.379 juta manakala bagi tahun 2023, jumlah tunggakan sebanyak RM2.196 juta melibatkan 3,954 akaun pengguna.
Nik Saiful Adli memberitahu, Air Kelantan Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat milik penuh kepada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) sepatutnya berusaha membantu meringankan beban yang dihadapi rakyat.
"Tawarkan penyelesaian terbaik yang tidak menambah lagi beban bukan sahaja kepada rakyat tetapi terhadap kewangan AKSB sendiri," katanya.
Beliau juga berharap kerajaan negeri dapat campur tangan dalam hal itu supaya tiada lagi tekanan ekonomi menghimpit mereka yang gagal membayar tunggakan bil air.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh itu turut mempersoalkan adakah AKSB boleh menjamin 270,000 pengguna lain menikmati kualiti air yang sepatutnya.
"Jika pengguna ini menyaman AKSB sudah pasti akan memburukkan lagi keadaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!