HRD Corp menganjurkan acara modal insan terbesar di Asia Tenggara
SHAH ALAM - National Human Capital Conference and Exhibition (NHCCE) 2024 bakal menjadi medan perbincangan terbesar di Asia Tenggara yang akan mengupas peranan kecerdasan buatan (AI) di tempat kerja serta implikasinya terhadap masa depan pekerjaan dan tenaga kerja.
Dianjurkan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp), NHCCE 2024 akan meneliti cara menghadapi cabaran serta memanfaatkan peluang yang dibawakan oleh AI untuk tenaga kerja dan bakat di rantau ini.
HRD Corp dalam satu kenyataan menyatakan bahawa peserta akan berkongsi amalan terbaik mengenai peningkatan kemahiran dan latihan semula, agar terus kekal di hadapan dalam menghadapi revolusi AI yang meliputi pelbagai sektor.
HRD Corp turut menyatakan bahawa NHCCE 2024 akan membincangkan kerjasama antarabangsa dalam membangunkan penyelesaian AI yang mampu memperkukuh keupayaan manusia.
“Persidangan itu juga akan menekankan kepentingan menggalakkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan berasaskan AI, yang berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan di seluruh rantau ini,” jelas kenyataan tersebut, baru- baru ini.
Menurut kenyataan itu, NHCCE 2024 akan diadakan pada 30 September hingga 2 Oktober depan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Menariknya, NHCCE kali ini akan menghimpunkan lebih 30 pemikir terkemuka dalam bidang modal insan, pengamal sumber manusia yang berpandangan jauh serta pakar terkenal di peringkat dunia.
Bertemakan Menginsankan AI untuk Pekerja Masa Hadapan, NHCCE 2024 bermatlamat untuk meneliti bagaimana perkembangan pesat AI di peringkat global mampu mencipta kemajuan luar biasa dalam pembangunan modal insan.
“Persidangan ini juga berfungsi sebagai platform pembelajaran berasaskan AI, di mana pembantu maya memainkan peranan penting dalam memudahkan perkembangan kemahiran dan penguasaan pengetahuan.
“Ini membolehkan pekerja menyesuaikan diri dengan keperluan pekerjaan yang sentiasa berubah dan kekal kompetitif di pasaran kerja global.
“Tumpuan tema ini adalah pada kepentingan perbincangan global, yang menjadi pemacu utama kepada dialog dan inisiatif terkini dalam membentuk masa depan pekerjaan serta pembangunan bakat di peringkat antarabangsa,” kata kenyataan itu.
Empat perkara utama
Menurut kenyataan itu, NHCCE 2024 secara spesifiknya akan menyentuh empat perkara utama iaitu perniagaan dan ekonomi; teknologi; sumber manusia; tempat kerja dan etika serta kepimpinan dan budaya.
NHCCE 2024 akan menampilkan Mehdi Hasan, seorang wartawan dan pengulas politik British-Amerika yang telah memenangi pelbagai anugerah.
Beliau pernah bekerja dengan saluran berita dan penerbitan terkemuka seperti The Guardian, Al Jazeera, Peacock, dan MSNBC, di mana beliau menjadi hos rancangan 'The Mehdi Hasan Show'.
Mereka juga bakal membawakan penceramah antarabangsa seperti, John Mattone yang merupakan pelopor Intelligent Leader (IL), sebuah sistem bimbingan yang memulakan, membina dan menggerakkan pemimpin ke arah kepimpinan yang luar biasa menggunakan falsafah dan kaedah pertumbuhan yang transformatif dan berorientasikan hasil.
Dr. Jack J Philips, seorang pakar dalam bidang akauntabiliti, pengukuran dan penilaian serta Dr Justin Cohen, seorang penulis tersohor dan penceramah global.
Persidangan itu juga akan dikendalikan oleh beberapa moderator yang terkemuka seperti pembaca berita Astro Awani, Luqman Hariz dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju yang juga hos sensasi, Ibrahim Sani.
Selain perbincangan yang merangsang pemikiran, NHCCE 2024 juga akan menjadi tempat berlangsungnya salah satu pameran terbesar di Malaysia pada tahun ini.
Pameran yang akan berlangsung selama tiga hari ini dibuka kepada orang awam secara percuma, dijangka akan disertai lebih 300 pempamer terkemuka yang menyajikan trend terkini dalam model peningkatan kemahiran, teknologi baharu dan platform kesejahteraan yang akan menggalakkan pertumbuhan organisasi serta perkembangan individu.
Mereka yang berminat untuk menghadiri pameran tersebut boleh mendaftar di https://form.evenesis.com/NHCCE2024/visitor.
“Pelbagai aktiviti menarik akan turut diadakan seperti sesi pocket talk yang akan disampaikan oleh pakar-pakar industri dan selebriti terkenal tanah air seperti Lah Ahmad dan Ally Iskandar; padanan perniagaan atau business matching; pameran kerjaya; kaunter khidmat nasihat serta produk HRD Corp dan pelbagai aktiviti lain, ” katanya lagi.
Pada tahun lalu, penganjuran persidangan tersebut berjaya menarik lebih 2,000 delegasi dari seluruh rantau Asia Tenggara.
Pembelian pas masuk bagi NHCCE 2024 telah dibuka yang mana pas standard berharga RM3,200 manakala pas kumpulan boleh didapati pada harga RM2,900 setiap seorang dengan syarat sekurang-kurangnya lima peserta.
Bagi penjawat awam, mereka hanya dikenakan RM2,500 bagi pas kerajaan manakala pas pelajar berharga RM700.
Bagi pas NHCCE untuk peserta antarabangsa pula dikenakan sebanyak USD 1,200 (RM5,198) manakala pas kumpulan pada USD 900 (RM3898).
Daftarlah segera untuk menyertai NHCCE 2024 dengan melayari laman sesawang www.hrdcorp.gov.my/nhcce atau emel nhcce@hrdcorp.gov.my atau menghubungi talian 03-76616255.
Orang ramai juga boleh mengikuti platform media sosial HRD Corp untuk mendapatkan diskaun istimewa dari semasa ke semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!