Malaysia kutuk usaha hapuskan peranan UNRWA - Mohamad

No Image Caption
A
A
A

NEW YORK - Malaysia mengulangi pendirian teguh untuk terus menyokong Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dalam usahanya memainkan peranan penting membantu rakyat Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut mengutuk usaha pihak tertentu yang mahu menghapuskan UNRWA, dengan menegaskan bahawa tindakan sebegini akan memberi kesan buruk kepada rakyat Palestin, terutama dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan

Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk memastikan UNRWA terus berfungsi seperti yang telah ditetapkan sejak penubuhannya, demi kelangsungan generasi muda Palestin yang terkesan oleh konflik berpanjangan, kata Mohamad.

"Ada usaha untuk memastikan UNRWA ini dihapuskan... Ini satu tindakan yang bertujuan untuk melemahkan Palestin secara keseluruhan,” katanya ketika ditemui media di pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB di sini pada Isnin.

Sebelum itu, beliau mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Jeneral UNRWA, Philippe Lazzarini, di luar sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-79.

Mohamad juga menyambut baik usaha negara-negara penyumbang utama yang memulihkan sumbangan mereka kepada UNRWA, hasil daripada usaha diplomatik Malaysia dan negara-negara yang berkongsi pendirian sama.

"Alhamdulillah, negara-negara penyumbang utama telah memulihkan sumbangan mereka agar UNRWA dapat berfungsi seperti biasa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menekankan bahawa walaupun Malaysia bukan penyumbang utama, negara ini adalah pendukung kuat UNRWA dan akan terus memainkan peranan dalam memastikan agensi itu dapat meneruskan tanggungjawab pentingnya kepada rakyat Palestin.

Malaysia mengumumkan sumbangan tambahan sebanyak AS$1 juta kepada UNRWA semasa Persidangan Ikrar UNRWA di PBB pada 12 Julai.

Dengan sumbangan terbaharu ini, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan Malaysia kepada agensi terbabit mencecah AS$5.2 juta sejak November 2023.

Sumbangan ini juga melengkapi komitmen tahunan Malaysia sebanyak AS$200,000 dari 2021 hingga 2025.

Dalam perkembangan lain, Mohamad turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Kurt M Campbell untuk membincangkan situasi terkini di Gaza dan usaha global bagi mencapai gencatan senjata.

Mohamad berkata, Campbell memaklumkan bahawa Amerika Syarikat sedang berusaha sedaya upaya untuk mencapai gencatan senjata di Gaza, namun mengakui terdapat cabaran besar dalam merealisasikannya.

"Beliau (Campbell) berkata, bukan senang, tetapi usaha dilakukan dengan sebaik mungkin untuk memastikan gencatan senjata ini dapat dicapai.

"Yang penting bagi kami, bagi saya ... adalah supaya pembunuhan terhadap rakyat yang tidak bersalah di Palestin ini dapat dihentikan segera," kata Mohamad, sambil menambah bahawa semua negara mahu gencatan senjata ini dipercepatkan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!