Belanjawan 2025: IATA gesa kerajaan perkenal kredit cukai

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa kerajaan untuk memperkenalkan insentif atau kredit cukai dalam Belanjawan 2025 bagi menyokong industri bahan api penerbangan mampan (SAF) Malaysia. (Gambar hiasan) Foto Awani
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa kerajaan untuk memperkenalkan insentif atau kredit cukai dalam Belanjawan 2025 bagi menyokong industri bahan api penerbangan mampan (SAF) Malaysia. (Gambar hiasan) Foto Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa kerajaan untuk memperkenalkan insentif atau kredit cukai dalam Belanjawan 2025 bagi menyokong industri bahan api penerbangan mampan (SAF) Malaysia.

Naib Presiden Serantau IATA Asia Utara dan Asia Pasifik (ad interim), Dr Xie Xingquan berkata, sokongan jangka panjang kerajaan serta dasar yang stabil untuk penyelidikan dan pembangunan dalam transformasi tenaga, khususnya SAF di Malaysia, akan menjadi sangat penting.

"Ini berkenaan pemulihan sektor penerbangan Malaysia, yang berjalan dengan baik, dengan pemulihan penuh dijangka menjelang 2025,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Xie turut menyebut bahawa pelancaran Pelan Tindakan Penyahkarbonan Penerbangan Malaysia (MADB) baru-baru ini dilihat memberangsangkan.

Di bawah MADB, sasaran penyahkarbonan bagi teknologi penerbangan ialah pencapaian 18 peratus menjelang 2050, penambahbaikan operasi (lima peratus), penggunaan SAF (46.20 peratus) dan pengimbangan karbon (30.80 peratus).

Selain itu, beliau menekankan kerajaan sewajarnya memberikan dana dalam belanjawan bagi menyokong pembangunan infrastruktur untuk industri penerbangan.

Xie berkata, sokongan infrastruktur boleh dilaksanakan sama ada melalui peningkatan atau pelaburan baharu, termasuk memaksimumkan penggunaan teknologi seperti sistem imigresen biometrik.

"Peningkatan sistem pemindahan orang ramai automatik (aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan sistem pengendalian bagasi adalah positif. Kunci kepada ini ialah mengadakan perundingan yang mantap dengan pelanggan syarikat penerbangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Satu lagi fokus utama ialah mempunyai tenaga kerja mahir bagi menyokong pembangunan industri, termasuk pembiayaan untuk meningkatkan lagi keupayaan latihan dalam memastikan Malaysia mempunyai modal insan yang mencukupi dan berkelayakan untuk menyokong keperluan industri.

"Kami juga berharap kerajaan akan mengecualikan kru syarikat penerbangan bukan Malaysia daripada cukai pelancongan jika mereka beroperasi di Malaysia sahaja,” katanya.

Ini akan membantu dalam mengurangkan kos operasi syarikat penerbangan di Malaysia selain berpotensi menggalakkan mereka mengembangkan perkhidmatan dan meningkatkan sambungan udara negara.

Sambil mengulangi cadangan IATA untuk sokongan terhadap SAF, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land Bhd, Syed Ali Shahul Hameed berharap Belanjawan 2025 akan memperkenalkan insentif yang disasarkan seperti pelepasan cukai serta sokongan kewangan, untuk menggalakkan syarikat penerbangan mengguna pakai teknologi hijau seperti SAF dan pesawat jimat bahan api.

Beliau menjelaskan sokongan dalam bentuk panduan kawal selia serta program pembinaan kapasiti akan membantu syarikat penerbangan seperti Berjaya Air mengharungi kerumitan kemampanan sambil terus mengutamakan keselamatan dan keselesaan penumpang.

"Pendekatan kerjasama yang merangkumi program latihan dan pembangunan untuk kakitangan syarikat penerbangan juga akan menjadi pentin selain menjamin tenaga kerja yang mampu mengurus teknologi dan amalan baharu dengan tahap profesionalisme tertinggi,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Industri Aeroangkasa Nasional Malaysia (Naico Malaysia), Shamsul Kamar Abu Samah berpendapat, perlu diadakan sistem pensijilan bagi syarikat penerbangan yang menunjukkan komitmen terhadap kemampanan.

Selain itu, beliau menambah, kerajaan harus melaksanakan piawaian alam sekitar yang lebih ketat untuk syarikat penerbangan, seperti had pelepasan karbon termasuk keperluan kecekapan bahan api bagi menggalakkan syarikat penerbangan membangun dan melaksanakan pelan tindakan kemampanan mereka. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!