Percepat bina benteng pemecah ombak - ADUN Jeram

Harrison (dua dari kiri) semasa meninjau keadaan pesisir Pantai Jeram di sini pada Selasa.
Harrison (dua dari kiri) semasa meninjau keadaan pesisir Pantai Jeram di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan digesa menyediakan peruntukan membina benteng pemecah ombak di beberapa lokasi 'hotspot' di sepanjang pesisir Pantai Remis hingga Pantai Jeram di sini bagi menangani ancaman fenomena air pasang besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu menyegerakan projek itu bagi mengelakkan kesan lebih serius kepada kira-kira 300 penduduk dan peniaga di kawasan pelancongan berkenaan.

Menurut beliau, kejadian fenomena air pasang besar adalah perkara biasa di kawasan pesisir pantai kerana ia dipengaruhi daya graviti matahari dan bulan yang menjadi penentu utama kepada proses pasang surut air laut.

"Bagaimanapun, ukuran paras air laut berbeza yang mana mencatat bacaan tertinggi 5.8 meter pada Sabtu lalu," katanya ketika ditemui selepas meninjau pesisir Pantai Remis dan Jeram di sini pada Selasa.

Harrison memberitahu, kebanyakan penduduk dan peniaga serta pengusaha pelancongan di sekitar pesisir pantai mengeluh berikutan ancaman fenomena air pasang besar yang melanda kawasan berkenaan.

"Saya sendiri menyaksikan video dihantar peniaga yang bimbang apabila air laut melimpah masuk ke kedai dan premis perniagaan yang menyebabkan mereka tidak dapat berniaga.

"Kita tidak mahu perkara lebih buruk berlaku baru tindakan hendak diambil, jadi saya dari awal mahu menyelesaikan masalah ini bersama dengan agensi berkaitan," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, beliau berharap JPS dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dapat memberi keutamaan bagi membina tebing bagi mengurangkan impak fenomena air pasang besar dan seterusnya mengangkat kawasan itu sebagai salah sebuah destinasi tarikan pelancong.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan diharap mengutamakan kawasan ini kerana dalam sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) lalu, saya telah beberapa kali sebut bahawa Pantai Jeram dan Remis ini patut diangkat setaraf dengan pantai lain seperti Pantai Morib, Banting dan juga seperti Port Dickson di Negeri Sembilan," tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!