[VIDEO] Kes rogol: Da'i Syed fail rayuan hukuman 10 tahun jel, tiga sebatan

A
A
A

SHAH ALAM – Pendakwah selebriti, Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini, berhubung sabitan, hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan merogol seorang wanita, pada 2019.

Menerusi notis rayuan yang difailkan pada 30 Ogos lalu, Syed Shah Iqmal, 29, membuat permohonan itu kerana tidak berpuas hati terhadap keputusan Hakim, Norazlin Othman yang menjatuhinya hukuman berkenaan, pada 30 Ogos lalu.

Semasa sidang akhbar, peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Syed Shah Iqmal, 29, berkata, mahkamah menetapkan pengurusan kes bagi rayuan tersebut pada 5 November depan.

“Ia sementara menunggu alasan penghakiman daripada Mahkamah Sesyen, maka kita akan hadir semula ke sini.

“Kita perlu baca dahulu alasan penghakiman berkenaan sebelum tindakan susulan dibuat,” katanya selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nadia Othman.

Syed Shah Iqmal (tengah) hadir bersama isterinya, Hana Ismail (kanan) hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa, bagi prosiding sebutan kes rayuannya terhadap sabitan dan hukuman bagi kes merogol seorang wanita, lima tahun lalu.
Syed Shah Iqmal (tengah) hadir bersama isterinya, Hana Ismail (kanan) hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa, bagi prosiding sebutan kes rayuannya terhadap sabitan dan hukuman bagi kes merogol seorang wanita, lima tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, Syed Shah Iqmal selaku perayu, berjaya mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman pada Jumaat lalu, maka mahkamah membenarkannya dilepaskan dengan jaminan sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perayu dilepaskan dengan ikat jamin RM35,000 dengan dua penjamin, yang mana ia merupakan prosedur biasa.

“Selepas rayuan selesai kelak, jika anak guam didapati tidak bersalah, maka dia akan dibebaskan namun sekiranya sabitan serta hukuman itu kekal, kita masih ada satu lagi peringkat iaitu di Mahkamah Rayuan.

“Saya tidak boleh dedahkan fakta kes berdasarkan arahan daripada pihak Mahkamah Tinggi.

“Jadi dalam kes ini, kita perlu ambil kira semua aspek, tak mahu ada subjudis sebab kita semua faham, mahu mengelak ketidakadilan kepada mangsa dan anak guam saya,” katanya.

Selain Abu Bakar, penceramah itu turut diwakili peguam, Amin Othman.

Pada 30 Ogos lalu, Syed Shah Iqmal menangis teresak-esak selepas Mahkamah Sesyen menjatuhinya hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan merogol seorang wanita, pada lima tahun lalu.

Norazlin memerintahkan bapa kepada seorang anak itu dihukum serta-merta selepas didapati dia bersalah susulan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun, selepas 21 hari meringkuk di Penjara Kajang, Syed Shah Iqmal dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 20 September.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019 lalu.

Atas kesalahan tersebut, dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!