Pengusaha rumah inap sudah terima tempahan RXZ Members 7.0
KUALA NERUS - Walaupun tarikh himpunan RXZ Members 7.0 belum dimuktamadkan, pengusaha rumah inap di Seberang Takir, di sini sudah menerima tempahan pelanggan yang bercadang untuk menyertai program itu.
Pengusaha Kimang Homestay yang ingin dikenali sebagai Syahira, 30, berkata, tempahan itu telah dibuat oleh pelanggannya yang sebelum ini menghadiri RXZ Members 6.0.
"Saya sebenarnya belum buka tempahan lagi tapi lepas pelanggan asal yang sertai RXZ Members 6.0 daftar keluar, dia terus 'booking' untuk RXZ Members 7.0 walaupun belum tahu tarikh bila.
"Lepas tu baru ada yang tanya sebab dia cakap yang lepas tak sempat nak tempah, jadi dia kurang bernasib baik sebab tak dapat rumah inap dekat dengan sungai," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.
Syahira sebelum ini turut berkongsi mengenai tempahan rumah inap diterima bagi program himpunan RXZ Members yang dijadualkan diadakan tahun depan menerusi akaun TikTok miliknya.
Syahira yang mengusahakan rumah inap sejak 2019 berkata, rumah inap yang boleh didiami oleh 10 hingga 15 orang pelanggan itu mengambil masa 10 hingga 15 minit untuk ke Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak di sini.
Katanya, bagi program RXZ Members 6.0 lalu, dia juga menerima tempahan lebih awal daripada pelanggan.
Jelas Syahira, program itu mendapat sambutan hangat malah dia menerima lebih lebih 100 panggilan daripada pelanggan bertanyakan rumah inap yang ditawarkan.
"Untuk program RXZ lepas, ramai sangat yang cari homestay, sebelum program sahaja lebih 100 panggilan saya terima, itu belum dikira panggilan diterima pada tarikh program iaitu pada 13 dan 14 September lalu.
"Kita sebenarnya sudah ada pelanggan yang pernah tempah rumah inap waktu RXZ Members 4.0 dan 5.0, jadi dia terus tempah untuk program tahun ini.
"Pelanggan itu pun bagus, rumah bersih, jadi saya sebagai pengusaha homestay tak nak pening kepala cari pelanggan lain, kita teruskan tempahan dan kita bersyukur kerana tiada tempahan bertindih macam yang berlaku kepada beberapa peserta RXZ Members baru-baru ini," katanya.
Selepas terpalit dengan kontroversi 'pukat memukat' ketika penganjuran pada 2023, penganjur Program RXZ Members 6.0 pada tahun ini masih diteruskan di Gong Badak di sini dengan jumlah kehadiran melebihi 40,000 peserta dari seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!