Polis sita harta raja dadah bernilai RM371.6 juta
SEPANG - Polis berhasil menyita beberapa harta seorang lelaki warga tempatan disyaki ‘kingpin’ dadah hingga keseluruhannya bernilai RM371.6 juta setakat ini selepas menyita 15 lot kawasan perusahaan di Klang dengan anggaran RM5.65 juta, semalam.
Pengarah JSJN, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, setakat ini keseluruhan harta yang disita antaranya adalah wang tunai RM6,950, wang dalam akaun RM21.6 juta, saham bernilai RM143 juta, hartanah RM203.6 juta, pelbagai kenderaan mewah bernilai RM2.7 juta dan barang kemas RM51,800.
Menurutnya, sitaan tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 3 dan Seksyen 4 Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
"Siasatan masih dijalankan untuk mengesan lagi harta milik suspek berkenaan.
"Suspek kini dipercayai berada di Thailand dan usaha untuk menjejakinya sedang giat dilakukan dengan kerjasama penguat kuasa negara berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Narcotic Airport Division di Anjung Tinjau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.
Pada 10 September lalu, polis menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa apabila merampas 12 tan metrik kokain dicampur dengan arang batu bernilai RM2.4 bilion dalam tiga kontena di Terminal Kargo Utara Butterworth.
Sindiket yang membawa dadah dalam 60 guni arang batu dari Amerika Selatan itu berjaya ditumpaskan menerusi Ops Eagle yang dijalankan di sekitar Butterworth dan Bayan Baru di Pulau Pinang serta Padang Serai, Kedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!