PN Melaka dakwa tindakan pecat tukar pegawai JAIM zalim

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

MELAKA - Perikatan Nasional (PN) Melaka kesal dengan tindakan kerajaan Melaka yang memecat atau menukarkan jawatan pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Ketua Penerangan Pas Melaka, Ahmad Bilal Rahudin berkata, kenyataan pemecatan yang dikeluarkan oleh Exco didakwa tidak masuk akal dan sengaja diperbesar-besarkan untuk merasionalkan tindakan keras terhadap pegawai JAIM terbabit.

Ahmad Bilal turut mempersoalkan kenyataan individu itu bagaimana dengan hanya menyisipkan gambar tersebut boleh menimbulkan keresahan serta rungutan awam sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Islam di negeri ini.

Katanya, sedangkan wajah yang dipaparkan dalam slide tersebut adalah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan bukanlah manusia yang menjejaskan keharmonian, tetapi adalah seorang tokoh ulama serta negarawan.

"Susuk ulama ini juga merupakan mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia dan telah menghasilkan ratusan kitab agama malah turut menulis tafsir beliau sendiri.

"Mengapakah kemunculan gambar beliau menjadi isu yang sangat besar sehingga ada pegawai yang hilang pekerjaan?" katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Bilal berkata, pihaknya kesal dengan sikap negatif yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri terhadap kesilapan pegawainya sehingga menghukum mereka yang sebenarnya tidak melakukan sebarang kesalahan dari sudut Islam atau pun sebarang kesalahan jenayah.

Sementara itu, Ketua Srikandi Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut sependapat dan mendakwa tindakan terhadap pegawai JAIM adalah zalim.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mas Ermieyati, beliau juga menyelar alasan yang diberikan oleh individu itu bahawa insiden berkenaan telah menimbulkan keresahan serta rungutan awam sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Islam di negeri Melaka tidak masuk akal.

Katanya, tindakan ini hanya politik semata-mata selain jelas menunjukkan pemikiran kerajaan negeri yang sempit, zalim dan tidak wajar.

"Resah apa? Rungutan apa? Rungutan Orang-orang UMDAP ke? Eh lupa ke Ts Tuan Guru ini juga merupakan mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia malah beliau telah menghasilkan ratusan kitab agama dan menulis tafsir beliau sendiri.

"Ke sebab nak menjaga hati rakan sekutu iaitu DAP dalam kerajaan Melaka ini? Sampai menyebabkan tindakan menakut-nakutkan orang ramai dengan imej ulama boleh menyebabkan keharmonian tergugat!" tulisnya dalam perkongsian di Facebook miliknya.

Pada Jumaat lalu, khutbah di seluruh masjid dan surau Jumaat di negeri tersebut disediakan oleh Bahagian Pengurusan Masjid dan JAIM bertajuk ‘Negaraku, Tanah Air Ku’ bersempena sambutan Hari Malaysia 16 September didakwa telah memaparkan gambar seorang pemimpin parti politik pembangkang.

Wajah pemimpin pembangkang berkenaan diletakkan bersebelahan dengan sepotong ayat berbunyi ‘Keamanan dan kemajuan negara hendaklah dipertahankan dan memerlukan pemimpin yang adil dan jujur, masyarakat yang harmoni, rakyat yang berdisiplin dan berbudi mulia'.

Dalam paparan berasingan, turut terdapat wajah Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tanpa digantikan dengan gambar Sultan Ibrahim selaku Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Susulan itu, JAIM dalam satu kenyataan membuat permohonan maaf atas kekhilafan berkenaan dan menjelaskan terdapat ralat dalam info grafik yang disediakan pihaknya.

Jabatan itu turut menarik balik info grafik terbabit dengan serta-merta dan mengarahkan semua pengerusi masjid dan surau Jumaat untuk menurunkan, memadam dan tidak menyebarkan paparan berkenaan atau sebarang dokumen berkaitannya untuk apa-apa tujuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!