Belanjawan Selangor 2025 dibentang pertengahan November
SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor bakal membentangkan Belanjawan Selangor 2025 pada pertengahan November depan berbanding awal bulan seperti diumumkan sebelumnya.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, sesi belanjawan tersebut ditangguhkan kerana kebanyakan pegawai agensi kerajaan negeri perlu menghadiri World Urban Forum di Mesir pada awal November.
“Bagaimanapun perbincangan lanjut mengenai perkara itu sudah dijalankan dan kita telah bersiap sedia bagi pembentangan berkenaan.
“Insya-ALLAH sesi belanjawan akan dibuat pada minggu kedua atau minggu ketiga November nanti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sesi dialog Belanjawan Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kedudukan ekonomi yang kini rancak diyakini menjadi daya bantu kepada kerajaan negeri untuk menghadapi tahun 2025.
Selain itu, ujarnya, kerajaan negeri juga mahu mengimbangkan semua kerancakan pembangunan dengan pelbagai program kebajikan yang akan terus diperkasakan.
“Fokus perbincangan iaitu kemungkinan kita berdepan bencana atau krisis dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menjadi paksi kehidupan pintar rakyat,” ujarnya lagi.
Jelas Amirudin, pihaknya menerusi siri-siri dialog yang dijalankan itu juga akan mengenal pasti inisiatif dan nilai tambah yang bakal dilaksanakan kerajaan negeri Selangor pada tahun depan.
Pada Belanjawan 2024, Selangor memperuntukkan RM2.53 bilion merangkumi RM1.33 bilion atau 52.6 peratus perbelanjaan mengurus dan RM1.2 bilion atau 47.4 peratus perbelanjaan pembangunan.
Belanjawan itu mengalami defisit berjumlah RM330 juta dengan mengambil kira jangkaan hasil negeri berjumlah RM2.2 bilion dan anggaran perbelanjaan RM2.53 bilion.
Defisit berkenaan lebih rendah berbanding tahun 2023 iaitu pengurangan sebanyak RM120 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!