Tampal laporan polis nafi restoran ada kaitan dengan GISBH
SEREMBAN - Bukan saja logo GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan perkataan Ikhwan pada sebuah restoran milik mereka di Seremban 2 di sini telah dibuka, malah pemiliknya turut menampal laporan polis pada premis berkenaan.
Menerusi laporan polis berkenaan, pemiliknya menyatakan laporan itu dibuat selepas pemilik sebuah akaun Facebook mendakwa setiap premis menggunakan perkataan Ikhwan telah menggunakan air berkat untuk menarik pelanggan.
Jelasnya, kedai-kedai Ikhwan adalah berlainan pemiliknya dan restoran mereka tiada kaitan dengan syarikat yang didakwa.
"Disebabkan kedai kami menggunakan perkataan Ikhwan, sedikit sebanyak telah mendatangkan kesan terhadap perniagaan kami.
"Ini kerana masyarakat beranggapan semua kedai bernama Ikhwan adalah sama dan dengan ini saya ingin menafikan tuduhan yang telah dilemparkan terhadap kedai kami," katanya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat empat salinan laporan polis yang ditampal pada pintu restoran berkenaan.
Bagaimanapun premis itu difahamkan telah ditutup sejak minggu lalu.
Antara aktiviti perniagaan lain dijalankan di situ ialah kedai runcit, kedai cendol, bakeri dan warung menjual kuih.
Sebelum ini, media melaporkan polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 18 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada 11 September lalu.
Hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan kanak-kanak yang juga penghuni rumah amal terbabit.
Susulan kes itu, seramai 171 individu ditahan termasuk 105 wanita berusia 17 dan 64 tahun.
Berdasarkan maklumat serta siasatan dilakukan, polis mengesyaki GISBH melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!