PdPR tetap berjalan jika banjir, musibah - Fadhlina

Fadhlina menandatangani plak perasmian semasa Program Yayasan Petronas Powering Knowledge: Stem Hub Program Duta Guru di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Tanjong Karang pada Selasa.
Fadhlina menandatangani plak perasmian semasa Program Yayasan Petronas Powering Knowledge: Stem Hub Program Duta Guru di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Tanjong Karang pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia menyediakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kepada murid dan pelajar yang terkesan akibat banjir atau sebarang musibah melanda di negara ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pendidikan anak-anak akan tetap diteruskan dalam apa jua keadaan sekali pun.

Menurut beliau, KPM menyediakan dua pasukan iaitu Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) bagi membantu murid dan pelajar yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir seperti yang berlaku di Kedah dan Perak.

"Walaupun mereka tidak dapat meneruskan persekolahan seperti biasa, tetapi KPM telah pun menyediakan dua pasukan pendidikan SST dan AST.

"Dua pasukan ini akan memastikan pendidikan di semua PPS berjalan lancar dan tidak ketinggalan dalam pelajaran," katanya ketika ditemui selepas Program Yayasan Petronas Powering Knowledge: Stem Hub Program Duta Guru di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Tanjong Karang di sini pada Selasa.

Fadhlina berkata, PdPR akan diteruskan sebagai persiapan dan persediaan menggantikan kelas akademik fizikal seperti biasa.

"Saya tidak fikir kita ada masalah untuk meneruskan pendidikan anak-anak walaupun dalam keadaan banjir atau bencana semasa berada di PPS," ujar beliau.

Tambah beliau, SST dan AST terdiri dalam kalangan guru terlatih akan dipinjamkan sementara untuk berkhidmat di PPS jika diperlukan.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, dua pasukan itu mempunyai modul tertentu bagi memastikan anak-anak tidak terbiar daripada menerima sebarang bentuk pendidikan.

"Selagi ada masa lapang di PPS, anak-anak ini akan diisi dengan (pembelajaran) oleh kedua-dua pasukan ini.

"Kita mempunyai banyak pengalaman dalam melaksanakan PdPR dalam pelbagai keadaan kerana ia bukan sesuatu yang asing dan akan diteruskan dengan kemampuan serta keupayaan guru terlatih," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!