GISBH: MB menghadap Sultan Selangor hari ini
SHAH ALAM - Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyembah maklum mengenai perkembangan isu GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) pada Selasa.
Amirudin berkata, bagaimanapun urusan berkaitan agama Islam di negeri berkenaan secara asasnya adalah di bawah kelolaan Sultan Selangor sepenuhnya.
Menurutnya, Sultan Sharafuddin telah memanggil menghadap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan polis beberapa hari lalu.
“Saya juga telah diberikan taklimat daripada sebahagian mereka dan kita sedang mengambil langkah-langkah susulan yang agresif.
“Insya-ALLAH saya akan menghadap Tuanku hari ini. Banyak hal akan dimaklumkan dan ini juga perjumpaan mingguan dengan baginda,” katanya pada Selasa.
Menteri Besar ditemui selepas merasmikan sesi dialog Belanjawan Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam di sini.
Mengulas lanjut, kata Amirudin, perubahan taktik berkaitan GISBH yang berlindung di bawah entiti perniagaan menjadi antara punca isu tersebut didakwa agak lewat untuk didedahkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!