Wanita warga emas ditahan bantu siasatan kehilangan Sabari
SUNGAI PETANI - Seorang wanita warga emas ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan berhubung kes kehilangan seorang lelaki di Baling sejak 3 September lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, wanita berusia 62 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan Sabari Baharom, 62, yang merupakan bekas pegawai kewangan di salah sebuah agensi kerajaan yang masih belum ditemui sehingga kini.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada wanita itu adalah individu sama yang direkodkan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sewaktu melakukan transaksi wang milik mangsa, Fisol enggan mengulas lanjut.
"Siasatan masih dilakukan dan jangan buat sebarang spekulasi kononnya polis tidak melakukan tindakan dan sebagainya.
"Kita nampak kes ini ada perkembangan malah siasatan masih diteruskan sehingga kini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media semasa Pelupusan Barangan Kes Trafik dan Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dekat sini pada Selasa.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Sabari hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, di sini pada 3 September lalu.
Namun, kenderaan milik mangsa dilaporkan ditemui dalam keadaan terbakar di Pulau Belantek, Sik.
Anak sulung mangsa, Suraiya Izzaty Sabari, 29, percaya ayahnya masih hidup.
Dia turut merayu sekiranya mana-mana individu yang berada bersama bapanya supaya menghantar mangsa pulang dalam keadaan baik.
"Kami turut mendapat maklumat mengenai pengeluaran wang dalam jumlah yang besar dalam salah satu akaun bank ayah yang disimpan untuk menunaikan ibadah haji," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!