'Ambil gambar, viralkan motosikal tak ikut spesifikasi' - Polis

Fisol (kiri) melihat proses pelupusan dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada Selasa.
Fisol (kiri) melihat proses pelupusan dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis akan mengesan kenderaan yang sengaja diubah suai serta tidak mematuhi spesifikasi untuk diambil tindakan khususnya motosikal yang digunakan untuk lumba haram dan merempit.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, untuk tujuan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta bantuan orang awam sekiranya ternampak kenderaan terbabit berada di jalan raya supaya memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Fisol (kiri) melihat barang kes yang dilupuskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada Selasa.
Fisol (kiri) melihat barang kes yang dilupuskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada Selasa.

Menurutnya, polis mengalu-alukan orang ramai yang terlihat kenderaan terbabit supaya mengambil gambar dan memuat naik ke media sosial serta tularkan.

"Kami nak keseluruhan warga Kedah, sila ambil gambar di jalan raya yang nampak atau tengok ubah suai yang dibuat ini...kenderaan tak ikut spesifikasi...tayar tak ikut spesifikasi, brek dibuang, karburetor ditambah untuk tujuan merempit.

"Polis akan kesan hingga ke rumah. Saya tegaskan di sini dan saya dah arahkan keseluruhan daerah melalui ketua penguatkuasaan trafik, semua ketua bahagian dan semua jabatan terlibat di Kedah (untuk bekerjasama)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa Pelupusan Barangan Kes Trafik dan Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dekat sini, pada Selasa.

Fisol (dua kanan) menunjukkan barang kes narkotik yang akan dilupuskan semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada Selasa.
Fisol (dua kanan) menunjukkan barang kes narkotik yang akan dilupuskan semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Fisol berkata, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah melupuskan sebanyak 330 item rampasan melibatkan 242 ekzos, 77 absorber, lima buah karburetor dan enam lain-lain item pada Selasa.

Jelasnya, kesemua item telah mendapat arahan pelupusan bawah Seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah dengan Kaedah Pelupusan menggunakan jentera penggelek.

"Proses pelupusan dilaksanakan mengikut piawaian untuk memastikan kepatuhan undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan.

"Bagi kes narkotik pula, sejumlah RM2.9 juta nilai keseluruhan pelbagai jenis dadah, membabitkan 2,826 kertas siasatan...pelupusan akan dibuat esok oleh sebuah syarikat lantikan kerajaan di Negeri Sembilan," katanya.

Katanya lagi, pelupusan barangan rampasan bagi kes trafik dan narkotik ini merupakan kes bagi tahun 2013 sehingga tahun 2022.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!