Bekas pengasuh kasari kanak-kanak menangis dijel 14 bulan

Mahkamah Sesyen Kajang pada 2 Julai lalu menangguhkan prosiding jatuh hukum kerana Nor A’in akan melahirkan anak. Foto Bernama
Mahkamah Sesyen Kajang pada 2 Julai lalu menangguhkan prosiding jatuh hukum kerana Nor A’in akan melahirkan anak. Foto Bernama
A
A
A

KAJANG - Seorang bekas pengasuh taska gagal menahan air mata selepas Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, menjatuhinya hukuman penjara 14 bulan kerana mengasari seorang kanak-kanak berusia setahun lima bulan pada Mei lalu.

Nor A’in Ismail, 24, dikenakan hukuman itu selepas mengekalkan pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan semula di hadapan Hakim, Mazuliana Abdul Rashid.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh jatuh hukum pada Selasa dan dikenakan bon berkelakuan baik dengan jaminan RM2,000 tanpa cagaran selama tiga tahun.

Wanita yang melahirkan anak dua bulan lalu turut dikenakan khidmat masyarakat selama 120 jam selepas selesai menjalani hukuman penjara berkenaan.

Pada 6 Jun lalu, dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan kepada kanak-kanak berusia 17 bulan didapati dengan sengaja mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di pusat asuhan itu di Bandar Mahkota Cheras, di sini pada jam 4.15 petang, 28 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa kepada hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah hendaklah sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman dinyatakan dalam subseksyen (1) seksyen sama, memerintahkan orang yang disabitkan kesalahan menyempurnakan bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama tempoh dengan syarat difikirkan patut oleh mahkamah dan melaksanakan khidmat masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, peguam, S Priyalatha yang mewakili tertuduh, merayu mahkamah menjatuhi hukuman denda tanpa pemenjaraan.

Menurutnya, anak guam menghidap kanser tiriod tahap dua dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya dan Institut Kanser Negara.

“Dia baru sahaja melahirkan anak dua bulan lalu dan masih menyusu badan, selain kanak-kanak itu disahkan mempunyai masalah jantung berlubang.

“Ketika kejadian, dia mengalami gangguan emosi kerana sarat mengandung tujuh bulan, maka dia memohon maaf kepada keluarga mangsa dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Faelly Jeffrey Lanjungan mencadangkan mahkamah menjatuhi hukuman berat kerana kes seumpama ini kerap berlaku di taska.

“Mangsa merupakan seorang adalah kanak-kanak yang tidak mampu melindungi dirinya sendiri.

“Sekiranya kanak-kanak tersebut merupakan anak kita sendiri namun diperlakukan seperti itu di bawah jagaan pengasuh, apa perasaan kita sebagai ibu bapa,” kata Faelly.

Susulan itu, beliau memohon mahkamah menjatuhi hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan pemilik premis taska lain agar tidak mengulangi kesalahan berkenaan.

Pada awal Jun lalu, polis menjalankan siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 17 bulan yang didakwa menjadi mangsa dera di sebuah tadika dekat Bandar Mahkota Cheras di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, ibu mangsa dimaklumkan oleh pengasuh taska bahawa anaknya telah diperlakukan dengan kasar oleh seorang pengasuh lain.

Menurutnya, mangsa dikatakan telah ditarik rambut serta dipicit hidung ketika disuap makan sehingga mangsa mengalami sedikit kecederaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!