Bekas isteri, adik tiri mengaku tidak bersalah bunuh pemandu e-hailing

Mereka yang didakwa mencapai niat bersama untuk membunuh Nurman Bakaratu, 61, membuat pengakuran itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol. Foto Bernama
Mereka yang didakwa mencapai niat bersama untuk membunuh Nurman Bakaratu, 61, membuat pengakuran itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol. Foto Bernama
A
A
A

TAWAU - Bekas isteri pemandu e-hailing yang ditemukan maut di sebuah ladang kelapa sawit di sini tahun lepas, Nurima Juli, 34, dan adik tirinya Sadam Kiram, 30, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan membunuh.

Mereka yang didakwa mencapai niat bersama untuk membunuh Nurman Bakaratu, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Berdasarkan pertuduhan, Nurima serta Sadam didakwa membunuh mangsa di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Batu 5 Jalan Apas, di sini, antara jam 7.30 malam hingga 11.30 malam, pada 13 Januari 2023.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara sehingga 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 kali, jika tidak dikenakan hukuman mati.

Sementara itu, Duncan menetapkan 18 Oktober ini bagi semakan kes serta status permohonan kebenaran pengecualian untuk mendengar kes tersebut daripada Hakim Besar Sabah Sarawak.

Ketika prosiding, Duncan memaklumkan tidak dapat mendengar kes itu bagi mengelak ketidakadilan dan penghakiman berat sebelah memandangkan sebelum ini beliau pernah menjadi hakim bagi kes bunuh berkenaan ketika Nurima tampil sebagai saksi utama pihak pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif yang mewakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fakhrurazi Ahmad Salim manakala Nurima diwakili peguam, Mark Rosaidey Mohd Amin dan Sadam diwakili peguam Jhassary P Kang.

Pada 25 Januari lepas, bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Mat Zaki Md Zain antara lapan tertuduh dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini atas kematian Nurman.

Artikel Berkaitan:

Namun, kesemua mereka dilepas dan dibebaskan selepas pendakwaan tidak mahu meneruskan kes selepas mendengar keterangan Nurima yang mengaku menikam Nurman yang juga bekas suaminya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!