Syarikat besar perlu beri peluang anak autisme tonjol bakat

Adli menyampaikan hujah pada Wacana Sinar ke-154: Kanak-kanak Masalah Spektrum Autistik (ASD): Cabaran Dan Masa Depan yang berlangsung di Dewan WUI, Bangunan Sinar Harian di sini hari ini. -Foto Rosli Talib
Adli menyampaikan hujah pada Wacana Sinar ke-154: Kanak-kanak Masalah Spektrum Autistik (ASD): Cabaran Dan Masa Depan yang berlangsung di Dewan WUI, Bangunan Sinar Harian di sini hari ini. -Foto Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Anak-anak autisme perlu diberi peluang bagi membuktikan mereka boleh berdikari dan menjana pendapatan dengan hasil titik peluh sendiri.

Pengasas Autism Cafe, Adli Yahya berkata, peluang sekarang ini yang tidak banyak menyekat potensi dimiliki anak-anak autisme.

Menurutnya, disebabkan itu, beliau mencari inisiatif bertemu wakil daripada syarikat-syarikat besar yang mempunyai jenama serta kewangan kukuh untuk meminta mereka menyediakan peluang kepada anak-anak istimewa.

"Saya tidak pernah minta mereka duit, tapi hanya minta mereka berikan peluang buat anak-anak autisme.

"Kita nak buat supaya orang faham budak-budak ini ada potensi, boleh berdikari, boleh dapat duit sendiri termasuk untuk menyedarkan semua pihak yang mereka ini memang ada peluang.

"Peluang boleh diberikan syarikat-syarikat yang memiliki nama besar kerana mereka sudah terkenal. Budak-budak autisme yang bekerja dengan saya mereka boleh buat sabun, biskut dan jika syarikat ini benarkan kami buka meja sebulan sekali di tempat mereka sudah memadai kerana impak yang kami mahu adalah supaya orang melihat kebolehan anak-anak ini berdikari mencari pendapatan mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar ke-154: Kanak-kanak Masalah Spektrum Autistik (ASD): Cabaran Dan Masa Depan yang berlangsung di Dewan WUI, Bangunan Sinar Harian di sini hari ini.

Dalam pada itu, Adli yang mempunyai anak autisme turut berkongsi bagaimana beliau melatih kemahiran serta mendidik anaknya supaya berdikari.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, setiap anak autisme mempunyai karakter berbeza di mana anaknya seorang yang pasif dan tidak mempunyai sebarang bakat.

Katanya, apa yang dilakukan, beliau berjaya mengenal pasti karakter anak yang penyabar, pembersih dan suka melakukan perkara berulang-ulang.

"Dari situ, saya memikirkan idea untuk membina kebolehan bersesuaian yang boleh anak saya buat secara berulang dan pada masa yang sama, melatih dia berkomunikasi. Jadi, saya buka kafe dan saya tugaskan dia untuk membasuh pinggan.

"Dia memang tak boleh masak, tapi dia boleh fokus basuh pinggan sebab kerja itu berulang. Banyak perubahan saya lihat selepas itu dan kemudian dia sudah boleh menyediakan hidangan kepada pelanggan termasuk menyediakan nasi lemak.

"Saya ambil setahun untuk ajar dia buat nasi lemak, lama tapi akhirnya dia berjaya. Kini dia juga sudah pandai buat gelang untuk dijual dan pendapatan dia boleh cecah RM1,000 sebulan," katanya.

Adli berkata, beliau turut melatih anaknya untuk berjalan kaki serta menaiki pelbagai pengangkutan awam seperti bas dan LRT ke kafe mereka kerana perkara itu boleh dilakukan secara berulang.

"Kami boleh naik kereta, tapi saya mahu dia merasai cabaran bagaimana untuk hidup. Perubahan ketara anak sudah tahu bagaimana untuk beli tiket di mana dia perlu tunggu dan inilah 'result' yang saya peroleh.