Sijil halal: Kenyataan Dr Akmal selari dengan 4 perkara disepakati PH-BN

Gulam Muzaffar Gulam Mustakim. Foto UMNO Online
Gulam Muzaffar Gulam Mustakim. Foto UMNO Online
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkaitan isu sijil halal adalah selari dengan apa yang disepakati dalam perjanjian persefahaman antara gabungan Kerajaan Perpaduan yang dimeterai.

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muzaffar Gulam Mustakim berkata, empat perkara utama dalam perjanjian itu ialah mengenai agama Islam, hak istimewa Melayu, kedudukan Bahasa Melayu dan institusi diraja.

Justeru, beliau melihat tiada keperluan untuk Dr Akmal memohon maaf terhadap Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok di atas kritikan kerasnya.

“Saya amat bersetuju dengan kenyataan YM Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) yang tiada keperluan Dr Akmal memohon maaf atas kenyataan yang dibuat berhubung isu sijil halal dan kritikan keras beliau terhadap YB Seputeh, Teresa Kok khususnya dan DAP amnya.

“Apa keperluan untuk memohon maaf? Kenyataan daripada beliau adalah selaras dan sejajar dengan perlembagaan parti UMNO di bawah Perkara 3 iaitu asas, objektif dan tujuan penubuhan.

“Kenyataan dibuat juga termaktub di bawah perjanjian PH (Pakatan Harapan) dan BN sebelum Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.

"Empat perkara utama (agama Islam, hak Melayu, Raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu) terkunci kemas di dalam almari besi yang tertutup rapat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Gulam Muzaffar juga mengingatkan DAP dan pemimpinnya agar jangan berani membuka ‘kunci’ itu kerana kedudukan Islam dan Melayu adalah perjuangan UMNO dalam mengharungi masa depan politiknya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, dalam isu sijil halal, DAP tidak perlu melatah kerana apa yang diinginkan adalah satu ekosistem perniagaan berasaskan patuh syariah diterap dalam nilai-nilai kehidupan orang Islam di negara ini.

“Halal bukan sekadar nama tetapi syumul untuk mencari keredaan ALLAH SWT. Kita juga tidak mahu ada orang mengambil kesempatan atas isu sijil halal ini. Secara tuntas halal ini perkara yang baik untuk semua pihak termasuk bagi orang bukan Islam.

“Jika ada perkara perlu ditambah baik, sila perbetulkan dan bukan mempertikaikannya, tetapi tidaklah perlu membuat kenyataan seperti memalukan negara atau mencetus pertikaian agama dan bangsa.

“Jika UMNO selalu dan sering ‘downplate’ dan ‘apolegetic’, kita dilihat lemah dan kurang menyengat di mata rakyat untuk mempertahankan kedudukan Islam dan Melayu.

"Ketegasan dalam isu sijil halal bukan bermakna kita anti mana-mana kaum,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!