Jurujual mengaku tidak bersalah rasuah pembantu penguat kuasa MBIP

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang jurujual aksesori telefon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM3,000 kepada seorang pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), bagi mengelak daripada dikenakan tindakan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

Tan Poh Wey, 41, didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai itu kepada Syed Hanif Syed Nasir, 31, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Syarikat 53 Mobile Trading kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan gagal mematuhi notis supaya memberhentikan aktiviti perniagaan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Pulai Mutiara 4/7, Taman Pulai Mutiara di sini, pada 5 petang, 23 Jan.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan bapa dua anak itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Okt, untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di hadapan hakim sama seorang penjaja pasar malam Wong Chee Khoi, 56, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi rasuah wang tunai RM1,000 kepada seorang pembantu penguat kuasa MBIP, Syamsuddin Ab Rahman, 46, tahun lepas.

Suapan itu sebagai dorongan agar Syamsuddin tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas dirinya kerana menjalankan perniagaan menjual barangan runcit tanpa lesen di Tanah Lapang, Jalan Persiaran Teknologi 1 di sini pada 8.20 malam, 2 Nov tahun lepas.

Ahmad Kamal Arifin membenarkan Wong yang juga bapa dua anak itu diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Okt, untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan terhadap Poh Wey dan Chee Khoi iaitu mereka perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor di sini sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli dan Nur Mahirah Mohd Pauzi manakala peguam K Bharathi mewakili Poh Wey dan Lim Chon Sin mewakili Chee Khoi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!