PRK Mahkota: UMNO percaya DAP mampu tangani isu sijil halal
SHAH ALAM - UMNO Bahagian Pulai percaya DAP akan berkerja keras dan mampu menangani kontroversi pensijilan halal yang berlaku baru-baru ini bagi memastikan ia tidak mempengaruhi sentimen pengundi Cina terhadap calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Ketuanya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, sejak dari dulu jentera pilihan raya DAP sememangnya hebat apabila menyampaikan isu sensasi dan fitnah seperti mana yang pernah dibuat sejak sebelum tahun 2018.
Menurutnya, pada tahun itu mereka menjadi punca orang Cina menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) sehingga menyebabkan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) dan PRU15.
"Mesti hari ini pun mereka tengah sibuk kerja keras untuk lawan isu halal di alam siber. Benda kecil macam ini memang ‘kacang’ bagi Tentera Kacang Merah DAP kan?
"Tambahan pula dengan DAP punya pengalaman bertahun-tahun menghentam dan merosakkan imej UMNO sampai mereka berjaya memenangi hati pengundi Cina, apa sangatlah sekadar satu isu halal?
"Kalau calon BN kalah, DAP juga akan terpaling rasa malu sebab masa PRK Pulai, DUN Simpang Jeram dan Kuala Kubu Bharu, UMNO yang kerja keras untuk menangkan calon sekutu DAP dan calon DAP sendiri di kawasan yang bukan kubu kuat mereka," ujarnya menerusi laman Facebook pada Selasa.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.
Beliau dipetik mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.
Kenyataan itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.
Tambah Nur Jazlan, lagipun isu sijil halal tidak menjejaskan komuniti kaum Cina terutamanya peniaga mahupun pemilik restoran dan kedai makan yang mereka usahakan.
"Sejak lebih 60 tahun kita merdeka, perniagaan dan ekonomi orang Cina tidak pernah terjejas. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pun sudah berpuluh tahun mulakan pelaksanaan sijil halal sejak tahun 1974 dan restoran atau kedai makan orang Cina tetap buat untung macam biasa.
"Sebab isu halal atau tidak ini adalah pilihan pelanggan, cuma orang Islam majoritinya ambil berat pasal status halal daripada kedai bukan Islam," katanya.
Beliau turut yakin dengan penglibatan DAP bersama BN, isu halal tidak akan menggugat sokongan majoriti pengundi Cina.
Jelasnya, DAP bukan sahaja bijak membaca permainan politik, tapi juga lebih tenang dalam membuat keputusan.
"Cybertroopers DAP pun saya yakin tetap berusaha untuk mematahkan hujah pihak yang cuba memanaskan isu ni di media sosial. Mereka bijak dalam mengawal naratif, memastikan sentimen positif terhadap calon BN terus kukuh.
"Isu ini mungkin cuba diputar belit oleh pihak tertentu, tapi dengan ketenangan dan strategi kepimpinan DAP, kita boleh nampak betapa cepatnya ia reda," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!