Kenaikan gaji premium TVET beri jaminan kualiti latihan

Mohd Rizan (kiri), Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Mohd Rizan (kiri), Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) menyokong langkah kerajaan menaikkan penetapan gaji premium kepada lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan jaminan kualiti latihan.

Setiausahanya, Mohammad Rizan Hassan berkata, kenaikan kadar bermula daripada RM2,500 hingga RM4,000 itu berfungsi sebagai ganjaran ketara untuk pelajar dan institusi yang mengutamakan kecemerlangan dalam latihan.

Menurutnya, ia penting bagi memastikan graduan TVET bersedia untuk bekerja dan memenuhi piawaian industri yang membawa kepada potensi pendapatan yang lebih tinggi.

“Jaminan kualiti di Institusi Latihan TVET Awam/Swasta perlu memainkan peranan penting dalam memastikan graduan dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk mendapatkan pekerjaan bergaji tinggi dalam pasaran kompetitif hari ini.

“Majikan sentiasa mencari calon yang terlatih yang boleh menyumbang secara berkesan kepada organisasi mereka.

“Graduan TVET boleh mendapat gaji premium kerana mereka memiliki kemahiran praktikal dan pengetahuan yang dituntut oleh industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Mohammad Rizan memaklumkan, pelaksanaan gaji minimum untuk graduan TVET mempunyai beberapa implikasi antaranya mengurangkan isu kekurangan kemahiran dan turut menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan TVET.

“Tambahan pula, gaji premium untuk graduan TVET meningkatkan persepsi pekerjaan teknikal dan vokasional, menonjolkan nilai dan kepentingan pekerja mahir dalam pasaran kerja yang kompetitif masa kini.

Artikel Berkaitan:

“Dengan mengiktiraf dan memberi ganjaran kepakaran yang diperoleh melalui program TVET, majikan bukan sahaja menarik bakat terbaik tetapi juga menggalakkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan kemahiran,” katanya lagi.

Tambah Mohammad Rizan lagi, pelajar dengan majikan akan mendapat manfaat daripada situasi menang-menang iaitu graduan diberi ganjaran dengan gaji premium dan industri memperoleh profesional mahir bagi memacu pertumbuhan serta inovasi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!