Kena ragut depan YB

Mangsa cuba mengejar suspek sebaik menyedari rantai pakainya diragut. Gambar kanan: Mangsa datang kepada Prabakaran bagi memanjangkan masalah dihadapi di kawasan itu.
Mangsa cuba mengejar suspek sebaik menyedari rantai pakainya diragut. Gambar kanan: Mangsa datang kepada Prabakaran bagi memanjangkan masalah dihadapi di kawasan itu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kehadiran penguat kuasa tidak mendatangkan ketakutan kepada seorang peragut apabila dia mengambil kesempatan menarik rantai dipakai oleh seorang lelaki ketika program 'walkabout' melibatkan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran di Batu 5 Jalan Ipoh, di sini hari ini.

Kejadian tersebut dirakam menerusi 'Live' Facebook Prabakaran yang berdurasi 7 minit dan setakat ini telah mencecah 11, 000 tontonan serta dikongsi sebanyak 99 kali.

Prabakaran berkata, pada awalnya suspek dilihat berlegar-legar di laluan tersebut sebelum meragut rantai dipakai mangsa yang berusia 50-an ketika sedang mendengar penerangan daripada wakil pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan aduan peniaga.

"Saya ke sana untuk melihat masalah jalan rosak, penurapan tidak sempurna, paip pecah dan longkang untuk diajukan kepada pihak DBKL sekitar jam 9 pagi.

"Mangsa merupakan orang awam yang datang untuk menemui saya dan mahu berkongsi masalah di kawasan itu namun tidak sangka dia menjadi mangsa ragut," katanya.

Prabakaran berkata, beliau kesal dengan insiden tersebut yang berlaku di depan matanya kerana suspek memilih pekerjaan yang salah untuk menyara hidup.

"Banyak kerja dia boleh buat tapi pilih untuk menjadi peragut. Dari susuk tubuh dan cara pakaian peragut itu kelihatan seperti orang muda.

"Saya harap polis boleh menambah kekerapan rondaan di sini memandangkan lokasi ini kawasan tumpuan kerana berhampiran pasar, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mangsa yang tidak mengalami kecederaan telah membuat laporan polis.

"Rakaman Live Facebook telah diserahkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan. Selain itu rakaman kamera litar tertutup di jalan tersebut juga akan digunakan untuk mengesan suspek.

"Saya yang berada di lokasi kejadian akan menjadi saksi dan memberikan keterangan pada malam ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!