Pesara rugi RM1.24 juta terpedaya pelaburan saham pra-IPO

Seorang pesara kerajaan kerugian RM1.24 juta selepas mendakwa terperdaya dengan pelaburan saham pratawaran awam permulaan (IPO), pada awal Jun lepas. - Gambar hiasan
Seorang pesara kerajaan kerugian RM1.24 juta selepas mendakwa terperdaya dengan pelaburan saham pratawaran awam permulaan (IPO), pada awal Jun lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pesara kerajaan kerugian RM1.24 juta selepas mendakwa terperdaya dengan pelaburan saham pratawaran awam permulaan (IPO), pada awal Jun lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, lelaki berusia 70 tahun itu terlihat iklan pelaburan saham IPO di Facebook yang menawarkan keuntungan tinggi pada kadar segera.

Beliau berkata, warga emas itu kemudiannya berurusan dengan seorang individu bagi mendapatkan maklumat lanjut menerusi aplikasi WhatsApp.

"Mangsa yang tertarik dengan tawaran berkenaan kemudiannya membuat pelaburan pertama dan menerima keuntungan seperti dijanjikan pada Julai lepas, menyebabkan dia percaya bahawa pelaburan tersebut adalah betul.

"Seterusnya, mangsa dijanjikan akan menerima pulangan lebih tinggi sekiranya menambah pelaburan dan dia kemudiannya melakukan beberapa transaksi pembayaran berjumlah RM1.24 juta ke beberapa akaun yang diarahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata, mangsa mengesyaki dia telah ditipu selepas tidak menerima sebarang pulangan atas pelaburan tambahan yang dibuat, sebaliknya dia terus didesak untuk menambah lagi jumlah pelaburannya.

"Mangsa kemudiannya telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pada masa sama, kita ingin menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan sebarang tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!