Lima hari mendaki, wanita warga emas tawan Gunung Tahan

Mahani (belakang, enam dari kiri) bersama rakan pendaki yang berjaya menawan puncak Gunung Tahan pada sambutan Hari Malaysia baru-baru ini.
Mahani (belakang, enam dari kiri) bersama rakan pendaki yang berjaya menawan puncak Gunung Tahan pada sambutan Hari Malaysia baru-baru ini.
A
A
A

LIPIS - Seorang warga emas membuktikan usia bukan penghalang selepas berjaya menawan puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia, Gunung Tahan setinggi 2,187 meter dan mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Malaysia baru-baru ini.

Mahani Meran, 61, dari Merlimau, Melaka berkata, pada mulanya tidak yakin untuk turut sama dalam misi pendakian tersebut.

"Berbanding dengan pendaki lain yang masih muda dan mempunyai kudrat yang kuat, saya memang agak risau juga.

"Namun saya memberanikan diri untuk mencuba lagipun dalam kalangan rakan yang turut serta juga berusia melebihi 50 tahun menyuntik semangat untuk menyertai aktiviti tersebut hanya semata-mata untuk mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Malaysia," katanya

Mengakui gembira dan bangga, Mahani bersyukur kerana mendapat rakan sekumpulan serta malim gunung yang amat memberikan sokongan serta dorongan buat dirinya menyelesaikan pendakian tersebut

"Saya sebenarnya memulakan aktiviti pendakian ini agak lewat usia juga pada 2017 dan hingga kini lima gunung G7 telah ditawan iaitu Chamah, Yong Yap, Ulu Sepat, Yong Belar dan terbaharu, Gunung Tahan," jelasnya.

Mahani (tiga dari kanan,depan)antara 18 pendaki Team Harok Adventure yang terlibat dalam misi tersebut
Mahani (tiga dari kanan,depan)antara 18 pendaki Team Harok Adventure yang terlibat dalam misi tersebut

Mahani antara 18 pendaki Team Harok Adventure yang terlibat dalam misi tersebut setelah pendakian selama lima hari bermula di Kem Kuala Juram, Merapoh yang dipandu oleh malim gunung Taman Negara Kuala Tahan, Tajuddin Mat Amin.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, persiapan bersama tiga rakannya dibuat dua minggu awal sebelum mendaki dengan kerap melakukan senaman seperti joging serta melakukan pemeriksaan perubatan bagi membolehkan mereka menyertai pendakian tersebut.

Tambahnya, mereka tiba di puncak Tahan setelah mengambil masa mendaki selama lima hari dan empat malam dalam jarak hampir 64 kilometer dari Kem Kuala Juram, Merapoh di sini.

Ditanya perancangannya selepas ini, Mahani ingin mendaki dua lagi G7 yang belum ditawan iaitu Gunung Korbu dan Gayong selain berhasrat untuk menawan Gunung Kinabalu pada tahun depan.

Sementara itu, malim gunung Taman Negara, Tajuddin Mat Amin berkata, pendakian tersebut disertai pendaki dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur dan tiba di Merapoh dengan menaiki Kereta Api Tanah Melayu (KTMB).

"Sepanjang perjalanan mendaki dan turun dari puncak Tahan, kumpulan ini tidak berdepan sebarang masalah kerana mematuhi arahan malim gunung dan mereka kelihatan bersemangat serta mengerahkan kudrat untuk cepat tiba di puncak Tahan.

"Setiap tahun menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, malim gunung Taman Negara mendapat tempahan perkhidmatan ramai kalangan pendaki untuk mengibarkan bendera Malaysia di puncak Tahan termasuklah hari biasa," katanya pendakian turut disertai pendaki warga asing.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!