Polis rampas barangan runcit seludup bernilai RM33,000 di Kelantan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara mematahkan cubaan menyeludup barangan runcit dianggarkan bernilai RM33,000 dalam dua serbuan berasingan di Pasir Mas, semalam.

Komandernya, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid dalam kenyataan hari ini berkata, serbuan pertama dilakukan di pangkalan haram Syed Deraman, Jeram Perdah pada jam 1 tengah hari dan beberapa orang lelaki yang dilihat sedang memunggah barangan di tebing Sungai Golok terus melarikan diri ke negara jiran sebaik menyedari kehadiran polis.

"Hasil pemeriksaan ditemukan pelbagai jenis barangan runcit yang dianggarkan bernilai RM19,000 yang disyaki untuk pasaran tempatan," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua di Kampung Bukit Lata kira-kira jam 2 petang, polis menahan seorang lelaki berserta sebuah kereta pacuan empat roda mengandungi pelbagai jenis barangan runcit dipercayai diseludup dari Thailand.

"Suspek berumur 34 tahun itu berasal dari Petaling Jaya, disyaki menjadi penghantar untuk menyeludup barang runcit bernilai RM14,000 ke pasaran tempatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!