[VIDEO] MBS sita peralatan perniagaan premis GISBH

A
A
A

SEREMBAN - Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mengeluarkan 24 notis kompaun dan menyita peralatan perniagaan di tiga premis dipercayai mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di sini, pada Selasa.

Setiausaha MBS, Mas Midyawan Yahya berkata, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan melakukan beberapa kesalahan termasuk beroperasi tanpa lesen.

Menurutnya, daripada enam premis, hanya satu yang mempunyai lesen manakala satu lagi beroperasi dengan lesen tamat tempoh.

Anggota penguat kuasa MBS menampal notis kompaun pada premis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH.
Anggota penguat kuasa MBS menampal notis kompaun pada premis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, kesemua premis tidak beroperasi dan rekod pemeriksaan sebelum ini mendapati satu daripadanya mempunyai lesen perniagaan yang sah, satu premis dengan lesen tamat tempoh dan empat premis lagi tidak berlesen.

"Antara kesalahan dilakukan ialah membuat halangan di tempat awam dengan meletakkan barang perniagaan di kaki lima awam, ubah suai premis tanpa kebenaran dan pemasangan awning tanpa permit," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Penguat kuasa MBS menyita peralatan perniagaan premis perniagaan di bawah GISBH selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan.
Penguat kuasa MBS menyita peralatan perniagaan premis perniagaan di bawah GISBH selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan.

Menurutnya, berdasarkan rekod MBS, premis yang tidak berlesen telah membuat permohonan lesen perniagaan sebelum ini, namun ditolak.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, ia selepas pihaknya mendapati premis tidak memenuhi syarat-syarat ditetapkan, malah turut pernah dikenakan kompaun sebelum ini atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran.

Peralatan perniagaan premis perniagaan di bawah GISBH disita.
Peralatan perniagaan premis perniagaan di bawah GISBH disita.

"Jadi barang-barang perniagaan operator premis ini kita sita dan akan dikembalikan selepas mereka mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

"Tindakan penguatkuasaan seumpama ini bukannya kepada syarikat tertentu saja, tetapi kepada semua peniaga dan kita berharap semuanya mematuhi peraturan serta undang-undang ditetapkan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!