[VIDEO] 'Firasat saya kuat, yakin ayah masih hidup'

A
A
A

SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] "Ayah akan 'call' kami, anak dan menantu setiap hari, sebab tu kami sedar kehilangan ayah."

Demikian luahan Suraiya Izzaty Sabari, 29, yang merupakan anak sulung kepada bekas pegawai kewangan sebuah agensi kerajaan, Sabari Baharom, 62, yang dilaporkan hilang sejak 3 September lalu.

Suraiya Izzaty
Suraiya Izzaty

"Sebab itu, kami rasa pelik bila ayah tiba-tiba hilang sebab dia tak pernah terputus hubungan dengan anak-anak kerana kami sangat rapat dengannya... dia akan call setiap hari termasuk menantu pun dia akan call tanya khabar walaupun sekejap.

"Saya harap sangat dapat jumpa ayah segera... firasat saya kuat mengatakan bahawa ayah masih hidup," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Pinang Tunggal di sini pada Selasa.

Bagaimanapun, Suraiya Izzaty turut meluahkan rasa lega apabila terdapat perkembangan kes dari pihak polis.

"Saya rasa lega bila menerima berita tersebut (penahanan seorang wanita)...walaupun keberadaan ayah belum dijejaki namun saya yakin polis akan menjalankan siasatan dengan teliti.

"Kami tidak mengenali individu yang ditahan itu malah dia juga bukan dalam kalangan kenalan ayah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kenyataan Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh yang mengesahkan tentang penahanan seorang wanita warga emas yang disyaki mempunyai kaitan berhubung kes kehilangan lelaki terbabit.

Menurut Fisol, wanita berusia 62 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan Sabari.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada wanita itu adalah individu sama yang direkodkan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sewaktu melakukan transaksi wang milik mangsa, Fisol enggan mengulas lanjut.

"Siasatan masih dilakukan dan jangan buat sebarang spekulasi kononnya polis tidak melakukan tindakan dan sebagainya...siasatan masih diteruskan sehingga kini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!