TFC fokus kekuatan pasukan hadapi tentangan kelab Vietnam

Muhammad Safawi (kiri) dan Steinbruckner (dua dari kanan) bersama jurulatih serta kapten pasukan Dong A Thanh Hoa FC ketika sidang akhbar perlawanan Piala Shopee 2024/25 pada Selasa. - Foto: FB TFC
Muhammad Safawi (kiri) dan Steinbruckner (dua dari kanan) bersama jurulatih serta kapten pasukan Dong A Thanh Hoa FC ketika sidang akhbar perlawanan Piala Shopee 2024/25 pada Selasa. - Foto: FB TFC
A
A
A

KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner mahu anak buahnya lebih fokus terhadap kekuatan sendiri dalam misi mengutip tiga mata penuh pada perlawanan menentang kelab Vietnam Dong A Thanh Hoa FC pada saingan Piala Shopee 2024/25 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam esok.

Pengendali kelahiran Croatia itu berkata, walaupun pasukan lawan memiliki pelbagai kelebihan dan kekuatan, ia tidak bermakna skuad Penyu tidak berpeluang meraih kemenangan, apatah lagi apabila beraksi di laman sendiri.

Justeru, Steinbruckner mengingatkan pemainnya supaya tidak terlalu memandang tinggi pihak lawan yang telah meraih kemenangan pertama pada aksi kumpulan A menentang kelab Myanmar sebelum ini.

"Ya, mereka pasukan yang bagus (Kelab Dong A Thanh Hoa FC). Saya telah menyaksikan beberapa perlawanan sebelum ini. Mereka pasukan pantas dan bersefahaman dengan beberapa orang pemain luar yang berkualiti.

"Tetapi saya rasa kita masih ada peluang untuk menang. Saya harap pemain kita dalam keadaan yang baik esok. Setelah hilang tiga mata pada perlawanan pertama, kami harap dapat kutip mata penuh esok," katanya dalam sidang akhbar perlawanan Piala Shopee 2024/25 antara TFC dengan Dong A Thanh Hoa FC di sini hari ini.

Dalam pada itu, kapten pasukan TFC, Muhammad Safawi Rasid bertekad menebus kekecewaan peminat setia skuad Penyu setelah tewas tipis 2-3 di tangan kelab Kemboja Svay Rieng FC di SSMZA bulan lepas.

Pemain pinjaman Johor Darul Ta'zim itu berkata ketika ini semua rakan sepasukan berada dalam keadaan baik kecuali tonggak pertahanan tengah Shahrul Nizam Ros Hasni yang masih belum pulih daripada kecederaan.

"Saya mengharapkan semua penyokong skuad Penyu dapat membanjiri stadium malam esok untuk memberi sokongan padu kepada pasukan.

Artikel Berkaitan:

"Kami akan cuba yang terbaik untuk menebus kekalahan tempoh hari. Kemenangan ini juga akan menjadi pencetus motivasi untuk menghadapi perlawanan Liga Super menentang Selangor FC hujung bulan ini," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!