Sindiket pelaburan 'Pantheon Ventures' palsu tumpas
KUALA LUMPUR - Seramai 17 individu termasuk seorang wanita warga tempatan disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan dikenali sebagai 'Pantheon Ventures' ditahan dalam beberapa serbuan di seluruh negara, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua individu berusia 23 hingga 52 tahun itu berperanan sebagai pengarah syarikat, setiausaha dan ejen pencari akaun keldai bagi sindiket berkenaan.
"Kita turut merampas 13 telefon bimbit pelbagai jenama, satu komputer riba, enam keping kad mesin juruwang automatik (ATM), dua set dokumen pendaftaran syarikat, satu unit cop syarikat dan satu penyata akaun bank," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, pihaknya telah membuka 66 kertas siasatan berkaitan skim pelaburan palsu itu melibatkan kerugian RM32,972,448.15 sejak Januari lalu.
"Sejumlah 20 akaun bank melibatkan tujuh buah syarikat, 12 perniagaan dan satu akaun persendirian dikesan telah digunakan oleh sindiket penipuan ini," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan, sindiket itu beroperasi sepenuhnya secara dalam talian dan menggunakan nama syarikat pelaburan terkemuka dunia iaitu ‘Pantheon Ventures’ untuk mengelirukan mangsa.
"Untuk makluman, ‘Panheon Ventures’ adalah sebuah syarikat pelaburan yang sah berpangkalan di United Kingdom dan telah ditubuhkan sejak 1982," katanya.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, bagaimanapun, syarikat itu tidak ada kaitan dengan skim pelaburan ‘Pantheon Ventures’ yang ditawarkan sindiket penipuan tersebut.
"Sindiket penipuan itu menggunakan Facebook dan WhatsApp sebagai medium pengiklanan dan komunikasi dengan mangsa.
"Iklan promosi pelaburan dibuat melalui Facebook dengan mengaplikasikan sistem algorithm bagi mencapai hasil yang optimum," katanya.
Beliau berkata, tawaran keuntungan yang ditawarkan adalah sekitar 6 peratus hingga 400 peratus sehari bergantung kepada pakej yang ditawarkan.
"Mangsa turut diyakinkan bahawa pelaburan mereka adalah terjamin dengan adanya bimbingan daripada ‘cikgu trader’ yang merupakan pakar dalam analisis pasaran modal," katanya.
Beliau berkata, bagi tujuan pelaburan, mangsa diarahkan untuk mendepositkan wang ke akaun tertentu (atas nama syarikat, perniagaan atau individu) dan memuat turun aplikasi APEX dan NEEQ melalui App Store dan Google Store.
"Bagaimanapun, mangsa akhirnya tidak menerima keuntungan sebagaimana yang dijanjikan," katanya.
Ramli berkata, pihaknya sedang mengesan tujuh lagi individu bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan tersebut.
"Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!