Maritim tahan 5 pekerja Myanmar, rampas sangkar ikan tamat tempoh lesen

Lima pekerja sangkar ikan warga Myanmar ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah di perairan Tanjung Dawai, Kuala Muda, petang semalam. - Foto: FB Maritim Malaysia
Lima pekerja sangkar ikan warga Myanmar ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah di perairan Tanjung Dawai, Kuala Muda, petang semalam. - Foto: FB Maritim Malaysia
A
A
A

ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan lima pekerja sangkar ikan warga Myanmar selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah di perairan Tanjung Dawai, Kuala Muda, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kesemua lelaki berusia 27 hingga 38 tahun itu ditahan anggota bot ronda yang melakukan rondaan rutin di perairan terbabit kira-kira 5.30 petang.

"APMM turut merampas dua sangkar ikan di kedudukan 1.4 dan 1.6 batu nautika barat laut Tanjung Dawai selepas didapati lesen pengoperasian telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua lelaki itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 8(c) Akta Perikanan 1985.

Noor Azreyanti sehubungan dengan itu, mengalu-alukan orang ramai melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah 04-731057. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!