Waspada cinta alam maya, elak jadi mangsa 'love scam'
KUALA LUMPUR - Polis memberi peringatan kepada individu yang sedang menjalin percintaan di alam maya untuk lebih peka dan berwaspada dengan tanda-tanda bahaya atau ‘red flag’ agar tidak menjadi mangsa penipuan sindiket ‘love scam’.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata masyarakat perlu cakna dan mengenali tanda penipuan seperti permintaan kewangan secara tiba-tiba oleh kenalan maya mereka.
"Mereka yang menjalin cinta dengan kenalan di alam maya dan tidak pernah bersemuka dinasihatkan tidak mudah percaya kepada sesuatu cerita yang tidak konsisten atau profil yang terlalu hebat dipaparkan kenalan mereka.
“Kita perlu bersikap skeptikal dengan selalu mempersoalkan niat seseorang, terutamanya jika hubungan baharu dan membabitkan permintaan bantuan kewangan atau maklumat peribadi," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini, pada Selasa.
Ramli berkata, orang ramai dinasihatkan memeriksa kesahihan individu melalui enjin carian atau berhubung dengan pihak berkuasa jika meragui kesahihan hubungan dalam talian.
"Mereka yang menjalinkan hubungan dalam talian perlu berbincang dengan rakan atau keluarga untuk mendapatkan pandangan.
“Langkah berjaga-jaga ini perlu diambil sebelum membuat keputusan yang membabitkan komitmen kewangan atau peribadi,” katanya.
Beliau memberi peringatan itu ketika mengulas satu kes ‘love scam’ terbaharu yang berlaku di Perak pada 9 September lalu membabitkan mangsa, seorang peguam wanita berusia 58 tahun.
Dalam kes itu, katanya mangsa berkenalan dengan seorang lelaki warga Amerika Syarikat yang mendakwa bekerja sebagai ahli geologi marin sekitar Julai lalu menerusi aplikasi WhatsApp.
“Suspek kononnya datang ke Malaysia untuk projek pembinaan underwater tank di perairan Terengganu. Namun, ketika sampai di Malaysia, semua wang tunainya telah dirompak.
“Suspek kemudian meminta pengadu untuk membantunya membawa masuk wang ke Malaysia dan mangsa membuat bayaran ke lapan akaun bank yang diberikan,” katanya.
Secara keseluruhan, katanya mangsa membayar RM1,757,490 dan suspek berjanji keseluruhan wang tersebut akan dipulangkan semula kepada pengadu.
“Bagaimanapun, sehingga kini pengadu tidak menerima sebarang pemulangan wang sebagaimana yang dijanjikan.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!