Pengadil Malaysia curi tumpuan dalam 'El Clasico' Indonesia

Muhammad Nazmi (tengah) mendapat pujian meluas daripada peminat bola sepak Indonesia berikutan prestasi cemerlangnya dalam pertembungan ‘El Clasico’ antara Persib Bandung dan Persija Jakarta di Bandung pada Isnin malam.
Muhammad Nazmi (tengah) mendapat pujian meluas daripada peminat bola sepak Indonesia berikutan prestasi cemerlangnya dalam pertembungan ‘El Clasico’ antara Persib Bandung dan Persija Jakarta di Bandung pada Isnin malam.
A
A
A

PENGADIL Malaysia, Muhammad Nazmi Nasaruddin mendapat pujian meluas daripada peminat bola sepak Indonesia berikutan prestasi cemerlangnya dalam pertembungan ‘El Clasico’ antara Persib Bandung dan Persija Jakarta di Bandung, Jawa Barat pada Isnin malam.

Ketenangan, kebijaksanaan dan pengalaman luasnya dalam mengadili perlawanan memainkan peranan penting dalam menguruskan perlawanan dengan berkesan, mengekalkan disiplin pemain dan memuaskan hati kedua-dua kakitangan kejurulatihan.

Menurut tvonenews.com, pengadil berusia 34 tahun yang memegang lesen pengadil FIFA sejak 2016 berjaya memikat hati penonton di stadium dan di televisyen, serta netizen (warga maya) ketika mengendalikan perlawanan berkenaan.

Laporan itu malah mencadangkan bahawa dia layak mendapat gelaran 'Man of the Match' atas kecemerlangnya mengawal perlawanan dalam kemenangan 2-0 Persib Bandung, termasuk melayangkan dua kad merah tanpa sebarang kritikan terhadap keputusannya.

Jurulatih Persib Bandung Bojan Hodak yang mengenali Muhammad Nazmi sejak di Malaysia memuji pengadil itu dengan berkata: "Beliau adalah pengadil terbaik dari Malaysia dan antara yang terbaik di Asia.”

Satu keputusan penting berlaku apabila Muhammad Nazmi mengeluarkan kad kuning kepada pemain tengah Persib Bandung Marc Klok atas kekasaran pada minit ke-62. Namun, selepas meneliti VAR (video bantuan pengadil), beliau membatalkan kad kuning itu dan melayangkan kad merah.

Hodak tidak membantah keputusan itu, dan Klok menerima kad merah berkenaan tanpa bantahan selepas pemain Persija Jakarta Firza Andika terlebih dahulu dilayangkan kad merah pada minit ke-28.

"Dia mengawal perlawanan dengan baik walaupun terdapat cabaran. Mengenai kad merah Klok, saya belum melihatnya, jadi saya tidak boleh komen,” kata Hodak, yang pernah membimbing kelab elit Malaysia, Johor Darul Ta'zim.

Artikel Berkaitan:

Jurulatih Persija, Carlos Pena memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai prestasi pengadil di Stadium Si Jalak Harupat yang berkapasiti 27,000 orang dengan berkata: "VAR membantunya menjalankan tugasnya, dan saya rasa beliau melakukannya dengan baik.”

Peranan Muhammad Nazmi dalam perlawanan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk membawa pengadil asing berlesen FIFA bagi Liga 1 pada musim 2024/2025 dalam usaha meningkatkan kemahiran pengadil tempatan.

Dia juga merupakan calon untuk kursus ‘FIFA World Cup Candidate 2026’ untuk Piala Dunia akan datang di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Sejak memulakan karier pengadilnya pada 2010, Muhammad Nazmi mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang menggunakan VAR dalam perlawanan Liga Juara-Juara AFC pada 20 September tahun lalu. Dia telah mengadili enam perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) dengan VAR dan turut dijemput untuk mengadili perlawanan dalam Liga Pro Saudi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!