PM arah siasat, banteras aliran bercanggah fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah

Anwar ketika pertemuan dengan pegawai tertinggi JAKIM pada Isnin. Turut hadir, Mohd Na'im (kiri).
Anwar ketika pertemuan dengan pegawai tertinggi JAKIM pada Isnin. Turut hadir, Mohd Na'im (kiri).
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa dituntut mengambil tindakan serius bagi menyiasat serta membanteras sehingga ke akar umbi segala bentuk aliran yang menyimpang daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Perkara itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dengan pegawai tertinggi JAKIM pada Isnin.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Tegas beliau, kerajaan mengambil serius perkara yang menyentuh pegangan akidah dan syariat umat Islam di Malaysia.

No Image Caption

"Moga ALLAH SWT melindungi kita dan negara ini daripada sebarang bahaya serta ancaman yang menyimpang yang boleh merosakkan pegangan sebenar akidah," katanya menerusi hantaran di laman sosial.

Ujarnya, pertemuan dengan JAKIM itu turut mengambil kira perkembangan mutakhir khususnya mengenai prospek ekonomi dalam sektor halal di dalam dan luar negara yang menagih kebersamaan antara agensi persekutuan bagi membantu merancakkan industri halal Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Jumaat lalu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) didapati mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Ini sekaligus menjadikan Perlis sebagai negeri pertama yang mengisytiharkan organisasi berkenaan sebagai satu kumpulan ajaran sesat.

Sejak 12 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun berjaya diselamatkan menerusi serbuan di 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan disyaki menjadi mangsa eksploitasi oleh kumpulan GISBH.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!