Peguam rugi lebih RM300,000 dijerat rakan kongsi
KUALA LUMPUR - Seorang peguam kerugian RM330,243 setelah bekas rakan kongsinya melakukan penyelewengan terhadap wang dari akaun klien firma guaman milik mereka.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pengadu berusia 49 tahun itu telah membuat laporan polis pada 7 September lalu.
"Hasil penelitian yang dilakukan oleh pengadu, pada sekitar 2012 hingga 2014, suspek telah menandatangani beberapa keping cek, selain turut memalsukan tandatangan bagi urusan pengeluaran sejumlah RM339,243.00 dari akaun klien untuk kegunaan peribadinya.
"Setelah disoal, suspek mengakui perbuatan tersebut dan berjanji untuk memulangkan semula wang yang telah digunakan," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini, pada Selasa.
Ramli berkata, atas dasar percaya, pengadu telah membuat pinjaman peribadi dan menjual rumah miliknya bagi menggantikan wang yang telah digunakan oleh suspek.
"Bagaimanapun, sehingga kini suspek gagal membuat bayaran semula sepertimana yang dijanjikan," katanya.
Dalam kes berasingan, Ramli berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan berkaitan laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki berusia 29 tahun terhadap sebuah firma guaman didakwa telah gagal melunaskan tanggungjawabnya, pada Sabtu.
"Siasatan awal mendapati, pengadu yang juga merupakan ahli perniagaan telah melantik firma guaman milik suspek untuk menguruskan pembelian sebidang tanah berkeluasan 1.9 hektar di Daerah Mualim, Perak, pada tahun lalu.
"Bagi tujuan tersebut, pengadu dikenakan bayaran guaman sebanyak RM23,000, bagaimanapun, selepas satu tahun berlalu, suspek gagal menyiapkan dokumen yang sepatutnya dan pembelian tanah tersebut juga tidak diselesaikan," katanya.
Beliau berkata, semakan yang dilakukan pengadu terhadap beberapa dokumen yang disediakan oleh suspek mendapati ia bukanlah dokumen jual beli hartanah yang sepatutnya.
"Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan," katanya.
Ramli menegaskan perlakuan jenayah dalam kalangan pengamal undang-undang merupakan satu perkara yang perlu dipandang serius
"Memandangkan mereka adalah rujukan masyarakat dalam perihal perundangan.
"Individu yang mendapatkan perkhidmatan guaman pastinya meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa peguam yang dilantik akan melindungi kepentingan mereka," ujarnya.
Beliau berkata, dalam mendepani isu-isu sebegini, pihak polis menyokong komitmen Majlis Peguam Malaysia yang dilihat semakin serius dan memberikan perhatian khusus bagi menangani isu salah laku dalam kalangan peguam.
"Kita amat menghargai usaha yang dilakukan oleh Majlis Peguam Malaysia dan bersedia untuk memberikan kerjasama sewajarnya bagi mencapai matlamat itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!