PTPTN peruntuk RM4.26 juta bagi WPP mahasiswa sesi Oktober

PTPTN Kelantan memperuntukkan RM4.28 juta bagi kemudahan WPP kepada 2,853 pelajar yang dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi sesi Oktober tahun ini - Gambar hiasan
PTPTN Kelantan memperuntukkan RM4.28 juta bagi kemudahan WPP kepada 2,853 pelajar yang dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi sesi Oktober tahun ini - Gambar hiasan
A
A
A

GUA MUSANG - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Kelantan memperuntukkan RM4.28 juta bagi kemudahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada 2,853 pelajar yang dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi sesi Oktober tahun ini.

Pengarah PTPTN, Hamdan Razali berkata, setiap pelajar yang layak akan mendapat RM1,500 untuk menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar memasuki institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan politeknik.

"Inisiatif ini merupakan komitmen PTPTN untuk meringankan beban kewangan pelajar dan ibu bapa, sekali gus memastikan tiada pelajar tercicir ke institusi pendidikan tinggi disebabkan masalah kewangan.

"Ia diberikan kepada pelajar yang telah membuat persetujuan menerima WPP semasa permohonan kemasukan IPTA dan politeknik melalui UPU Online atau melalui portal kemasukan IPTA serta memenuhi kriteria kelayakan lain yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Penyerahan WPP PTPTN dan Penyampaian Sumbangan kepada 36 bakal mahasiswa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini hari ini melibatkan peruntukan sebanyak RM54,000.

Hamdan berkata, surat tawaran WPP yang disampaikan mempunyai tempoh sah laku selama dua bulan dan pelajar boleh menunaikan WPP di mana-mana cawangan Bank Islam Malaysia Berhad di seluruh negara bermula hari ini sehingga 23 Nov dengan membawa surat tawaran dan MyKad.

"Penunaian perlu dihadiri pelajar sendiri dan tidak dibenarkan menghantar wakil. WPP yang ditawarkan merupakan sebahagian daripada pinjaman PTPTN, justeru pembayaran semula akan dilaksanakan melalui pemotongan daripada jumlah pinjaman sebanyak RM500 bagi setiap semester,” katanya.

Beliau berkata, pemotongan bermula pada semester kedua dan seterusnya sebanyak tiga kali.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, pelajar juga boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap IPTA, tambah beliau.

"Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Simpan SSPN yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN, manakala bagi pelajar yang tidak berhasrat untuk mendaftar ke IPTA yang ditawarkan atau tidak berhasrat untuk membuat permohonan pinjaman PTPTN, dinasihatkan tidak menunaikan WPP ini,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!