PGSM tawar bantuan pulihkan isteri dan anak mangsa GISBH

Kenyataan media PGSM (kiri), Musa
Kenyataan media PGSM (kiri), Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menawarkan bantuan pemulihan kepada mangsa GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) terutama isteri dan anak-anak daripada ahli kumpulan itu yang dipercayai terpesong apabila mengikuti ajaran Tarekat Aurad Muhammadiyah.

Presiden PGSM, Musa Awang berkata, antara bentuk bantuan dan kerjasama yang akan dilakukan adalah memberi nasihat guaman syariah, membawa permohonan ke Mahkamah Syariah berhubung pengesahan status nikah dan pengesahan status nasab anak-anak.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Menurutnya, perkara lain yang akan diberi perhatian adalah hak penjagaan anak-anak oleh kaum kerabat seperti datuk, nenek dan saudara-mara kepada anak-anak yang terlibat.

"PGSM telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan pada Selasa dan telah menyampaikan hasrat PGSM untuk sama-sama terlibat dalam usaha memberi bantuan serta pemulihan tersebut.

"Kami berpandangan bahawa semua pihak pada masa ini wajar menghentikan dan menamatkan salah menyalah serta menuding jari sesama sendiri," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan fasa keempat Op Global terhadap GISBH yang bermula pada 21 September lepas, menyaksikan seramai 156 lagi individu telah ditahan, dan 187 lagi mangsa telah berjaya diselamatkan.

Beliau memberitahu, kesemua suspek yang ditahan di bawah fasa empat ini akan direman sehingga 28 September depan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, serbuan di bawah fasa tersebut telah dilakukan di 280 premis yang berkait rapat dengan GISBH di Semenanjung Malaysia, dengan 221 daripadanya telah dikosongkan lebih awal, dan polis percaya ahli-ahli di premis itu telah melarikan diri dengan lebih awal.

PGSM mengharapkan usaha murni yang dilakukan itu turut mendapat sokongan semua pihak.

"Ia termasuk pihak kerajaan, agensi-agensi yang berkaitan serta majlis agama Islam negeri-negeri," jelasnya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!