Dua panda gergasi akan dihantar ke Hong Kong
CHENGDU - Dua panda gergasi dijadualkan dihantar dari tanah besar China ke Hong Kong pada Khamis, menyertai dua pasang panda gergasi lain yang sudah tinggal di Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, lapor Xinhua.
Pasangan panda itu yang diberi nama An An dan Ke Ke, akan menetap di Ocean Park Hong Kong, menurut perjanjian yang ditandatangani oleh Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan China untuk Panda Gergasi dan Ocean Park Hong Kong.
An An, merupakan panda jantan manakala Ke Ke, betina, kedua-duanya dilahirkan pada Jun 2019. Mereka kini dalam keadaan sihat dan sedang dikuarantin di pusat Dujiangyan, menurut pusat itu.
Walaupun kedua-dua panda berkenaan tidak berkaitan secara genetik, tetapi mempunyai watak pelengkap, kata Li Desheng, timbalan pengarah Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan China untuk Panda Gergasi.
Pakar dan penjaga dari pusat itu menjalankan pertukaran dengan empat penjaga dari Ocean Park Hong Kong, membantu mereka lebih mengenali perangai dan tabiat kedua-dua panda itu dan membina kepercayaan dengan pasangan panda terlebih dahulu.
Pusat itu berkata ia akan menghantar penjaga dan doktor haiwan untuk menemani panda gergasi dalam perjalanan dan tinggal bersama mereka seketika di Hong Kong, untuk membantu panda membiasakan diri dengan rumah baharu mereka dan menyesuaikan diri dengan secepat mungkin.
Pada masa ini, pusat itu dan Ocean Park Hong Kong sedang membuat segala persiapan yang diperlukan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pasangan itu dalam perjalanan mereka ke Hong Kong. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!