iSHAR fokus peranan zakat dalam kewangan Islam
PERSIDANGAN Meja Bulat Cendekiawan Syariah Antarabangsa (iSHAR) menjadi platform penting untuk bertukar kepakaran dan pengetahuan mengenai isu kewangan Islam yang dihadapi industri perkhidmatan berkaitan.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, persidangan yang memasuki edisi kelima itu menandakan usaha berterusan pihaknya dalam memajukan kewangan Islam.
Menurutnya, kejayaan berterusan iSHAR sebagai platform pertukaran kepakaran dan pengetahuan mencerminkan komitmen Bank Rakyat untuk memupuk kerjasama, sekali gus memacu inovasi dalam kewangan Islam.
"Resolusi dan pandangan dihasilkan daripada perbincangan ini akan menjadi rujukan utama kepada golongan ulama, pengamal dan pihak berkepentingan.
"Dengan menangani isu kontemporari berkaitan zakat, kami dapat memastikan relevan dan impaknya dalam mempromosikan pengagihan kekayaan yang saksama serta memajukan masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Irwan turut menekankan peranan zakat yang meluas bagi mempromosikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam sektor perbankan Islam.
Jelas beliau, zakat mengandungi prinsip etika yang membentuk asas kewangan Islam.
"Melalui inisiatif seperti iSHAR, kami berusaha merapatkan jurang sosial dan moral dalam perbankan,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick ketika berucap merasmikan persidangan itu turut memuji kepimpinan Bank Rakyat memupuk dialog bermanfaat serta komitmennya menyokong komuniti kurang mendapat perhatian.
Ewon berkata, inisiatif keusahawanan seperti RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur yang menggunakan dana zakat untuk menyokong usahawan asnaf menunjukkan kuasa transformasi kewangan Islam.
"Ia sekali gus mempromosikan pertumbuhan keusahawanan, pemerkasaan ekonomi dan pembangunan jangka panjang," katanya.
Wakil ulama, Sheikh Dr Nedham Yaqoobi turut menyifatkan iSHAR ke-5 sebagai perhimpunan penting yang mengumpulkan ulama syariah dan golongan intelektual seluruh dunia untuk terlibat dalam perbincangan komprehensif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!