Telegram akur hapus kandungan aktiviti jenayah

Durov ditahan di lapangan terbang Perancis pada bulan lalu. - Foto Agensi
Durov ditahan di lapangan terbang Perancis pada bulan lalu. - Foto Agensi
A
A
A

PARIS - Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telegram, Pavel Durov pada Isnin mengesahkan platform pemesejan itu telah mengeluarkan 'kandungan bermasalah'.

Langkah itu dibuat beberapa minggu selepas insiden penahanannya di Perancis pada bulan lalu berhubung kegagalan beliau untuk mengekang aktiviti jenayah yang menyalahgunakan aplikasi itu.

“Ciri carian pada Telegram telah disalahgunakan oleh segelintir individu tidak bertanggungjawab yang melanggar syarat perkhidmatan kami untuk kegiatan haram mereka.

“Oleh itu, staf kami telah menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti kandungan sedemikian yang tidak lagi boleh diakses,” katanya kepada 13 juta pelanggan di saluran peribadi beliau.

Menurutnya, Telegram telah mengemas kini syarat perkhidmatan dan polisi privasi yang membolehkannya berkongsi butiran termasuk alamat IP dan nombor telefon pelanggan sebagai respons terhadap permintaan undang-undang.

Durov, 39, dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah 5 juta euro (RM24.7 juta) selepas berdepan beberapa tuduhan kerana gagal membendung aktiviti gelap. - AFP

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!