Keilmuan Nasional kecewa UPSR, PT3 kekal mansuh

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

GEORGE TOWN - Keilmuan Nasional Negeri Pulau Pinang (KNNPP) meluahkan rasa kecewa dengan kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk mengekalkan keputusan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dibuat pada tahun 2022.

Pengerusinya, Azdy Mohd Arshad berkata, kenyataan beliau sekiranya ujian ini dikembalikan, ia seolah-olah menjadikan anak-anak atau pelajar sekolah seperti ‘tikus makmal’ adalah tidak tepat sama sekali.

Menurutnya, kenyataan tersebut lebih sesuai ditujukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri yang telah membuat suatu keputusan secara tergesa-gesa tanpa mengambil pandangan pemegang taruh utama iaitu ibu bapa dan guru serta mengkaji kesan negatif terhadap para pelajar.

"Berdasarkan soal selidik yang dijalankan dalam kalangan ibu bapa dan guru, KNNPP mendapati majoriti ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah rendah mahukan UPSR atau ujian penilaian yang setara dikembalikan.

"Malah, golongan guru juga mengharapkan sistem peperiksaan ini segera dikembalikan kerana penilaian prestasi akademik seseorang pelajar melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) adalah sangat subjektif dan kurang tepat," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Azdy berkata, pihaknya mendapati anak-anak yang bersekolah di sekolah rendah pada hari ini, terutamanya murid tahun 5 dan 6 tidak merasa wujudnya desakan untuk mereka belajar dengan bersungguh-sungguh kerana mereka hanya dinilai di peringkat sekolah masing-masing.

Malah katanya, dalam jangka masa panjang, ia akan menyebabkan motivasi dan daya saing untuk belajar bersungguh-sungguh semakin merosot.

Tambahnya, satu lagi kesan yang membimbangkan para ibu bapa dan guru adalah dapatan bahawa para pelajar hari ini yang semakin kurang serius dalam mengulang kaji pelajaran dan kurang berminat untuk belajar disebabkan tiada peperiksaan untuk menilai tahap pencapaian mereka.

Artikel Berkaitan:

"Bagi pelajar tingkatan 3 pula, peperiksaan PT3 adalah sangat penting untuk mengukur tahap pencapaian dan pemahaman mereka setelah tiga tahun berada di sekolah menengah.

"Ia juga dijadikan penanda aras kepada kelayakan untuk masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah berasrama penuh (SBP) dan sekolah-sekolah terpilih yang lain.

"Malah, Keputusan PT3 atau sebelum ini PMR turut menjadi penentu kepada pemilihan aliran pengajian untuk tingkatan 4," ujarnya.

Beliau menambah, KNNPP berpandangan kedua-dua peperiksaan ini perlu dikembalikan dengan kadar segera.

Tegasnya, tidak salah untuk KPM akur dengan desakan ibu bapa dan guru sekiranya ia memberikan impak positif dan kesan jangka panjang yang menguntungkan generasi hari ini.

"KNNPP menggesa supaya KPM dapat mempertimbangkan untuk menerima cadangan dan desakan supaya UPSR dan PT3 dikembalikan.

"Bagi tujuan penambahbaikan, KPM disarankan untuk memberikan nafas baharu kepada peperiksaan tersebut dengan mengkaji semula format peperiksaan, sukatan pelajaran, kaedah menjawab peperiksaan dan sebagainya.

"KNNPP juga menyokong penuh hasrat KPM untuk memperkukuh Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) namun pada masa yang sama, peperiksaan formal tetap perlu dilaksanakan," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!