Lima lelaki Myanmar ditahan tiada dokumen sah, sangkar ikan tiada lesen

Lima lelaki warga Myanmar ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.
Lima lelaki warga Myanmar ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.
A
A
A

ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan lima lelaki warga Myanmar kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pemeriksaan lesen dua sangkar ikan di situ juga didapati telah tamat tempoh.

Katanya, kelima-lima lelaki berkenaan ditahan ketika pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa Maritim Malaysia di perairan Tanjung Dawai pada jam 5.30 petang pada Isnin.

"Bot ronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin Op Aman dan Op Khas Patkor Optima 31B/2024 ketika kejadian.

"Mereka kemudiannya memeriksa dua sangkar ikan berkenaan yang berada di kedudukan 1.4 dan 1.6 batu nautika barat laut Tanjung Dawai," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.



Sangkar ikan yang lesennya sudah tamat tempoh.
Sangkar ikan yang lesennya sudah tamat tempoh.



Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan mendapati lesen sah pengoperasian telah tamat tempoh dan kelima-lima lelaki warga Myanmar yang disyaki pekerja sangkar berkenaan gagal menunjukkan dokumen perjalanan diri yang sah.

"Kesemua mereka yang berumur antara 27 hingga 38 tahun itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 8 (c) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kesemua mereka dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan siasatan lanjut.

"Maritim Malaysia menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!