Ditipu agensi kerajaan palsu, pemilik katering rugi RM90,750
SEREMBAN - Polis menerima tiga laporan membabitkan penipuan tempahan katering menggunakan nama agensi kerajaan bulan lalu sehingga mangsa mengalami kerugian RM90,750.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, sindiket ini akan menempah makanan dalam kuantiti yang banyak secara dalam talian dengan menyasarkan nama agensi kerajaan sebagai modus operandinya.
"Mangsa merupakan pemilik perniagaan katering di sekitar Seremban dan telah berurusan melalui panggilan telefon yang di hubungi oleh individu yang tidak dikenali.
"Sindiket ini akan membuat tempahan makanan dan cenderahati dengan jumlah yang besar namun setelah persiapan dibuat serta semakan dengan agensi terlibat mendapati tempahan tersebut tidak wujud," katanya pada Selasa.
Menurutnya, sindiket ini kemudiannya berjanji untuk menguruskan cenderahati dan urusan berkenaan sehingga mendorong mangsa melakukan transaksi bayaran RM90,750 kerana percaya tempahan itu daripada agensi kerajaan.
"Kes seterusnya disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,"katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya kepada sebarang permohonan tempahan makanan secara dalam talian.
"Lakukan semakan daripada agensi-agensi terlibat terlebih dahulu sebelum menjadi mangsa penipuan. Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!