Pastikan DUN Mahkota dapat wakil rakyat mampu berkhidmat - Nurul Izzah

Nurul Izzah - Foto: Bernama
Nurul Izzah - Foto: Bernama
A
A
A

KLUANG - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu memastikan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota mendapat seorang wakil rakyat yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, disebabkan itu, fokus jentera mereka ialah bekerja sebaik-baiknya untuk membantu memenangkan calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) berkenaan.

"Kami daripada PKR dalam siri bertemu dan menziarahi pengundi DUN Mahkota dan lebih-lebih lagi (kunjungan ini) untuk mengingatkan mereka tentang hari pengundian agar (pengundi) beri undi dan menangkan calon BN kerana penting mendapat perwakilan yang mampu berkhidmat.

"Saya datang sini dengan semangat setia kawan dan persahabatan. Kami mahu memastikan bahawa kami mendapat sokongan padu (daripada pengundi). Pertama sekali, kami berada di medan perang dan kami mahu menang dan meyakinkan pengundi untuk mereka memberikan sokongan penuh,” katanya.

Nurul Izzah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang berkata demikian semasa ditemui pada Program Ziarah Kasih di Taman Ilham di sini hari ini, yang turut dihadiri Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Selain itu, Nurul Izzah juga merayu kepada semua pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab pada 28 September ini, kerana setiap undi berharga dalam pilihan raya.

"Tolong berikan undi anda dan insya-Allah kami akan berkhidmat dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik. Kami sentiasa cuba meningkatkan perkhidmatan demi rakyat Johor dan kita hendak pastikan ada kesinambungan yang berterusan,” katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara Syed Hussien dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

Artikel Berkaitan:

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!