Pakistan, Afghanistan kutuk serangan Israel terhadap Lubnan
NEW DELH - Pakistan dan Afghanistan pada Selasa mengutuk serangan Israel terhadap Lubnan, mengatakan tindakan rejim Zionis itu boleh membawa kepada konflik serantau.
Israel membunuh lebih 550 orang, termasuk 50 kanak-kanak dan berpuluh-puluh wanita, dalam pengeboman di beberapa kawasan Lubnan, termasuk ibu kota Beirut, sejak Isnin, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
"Tindakan pencerobohan terhadap Republik Lubnan ini adalah pelanggaran serius terhadap Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa. Ia merupakan peningkatan ketegangan berbahaya yang semakin mengancam keamanan dan keselamatan di rantau yang sudah pun tidak menentu," kata Kementerian Luar Negeri Pakistan dalam satu kenyataan.
"Kami menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil langkah segera meminta Israel bertanggungjawab atas tindakan pencerobohan yang berbahaya di rantau ini dan keganasan serta genosid yang dilakukannya," katanya.
Kerajaan Afghanistan dalam satu kenyataan berkata kegagalan bertindak balas terhadap rejim Zionis di Gaza telah memberi keberanian kepada rejim itu untuk menyerang Lubnan.
Ia menyatakan bahawa rejim Zionis mengancam keselamatan seluruh rantau ini dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk campur tangan melindungi orang awam di Lubnan dan Palestin.
Sekurang-kurangnya 1,835 orang cedera dalam serangan Israel di Lubnan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!