Penampilan ke-15 Harrif di LTdL 2024

Harrif mula menyertai LTdL pada edisi 2007. Foto FB Harrif Saleh.
Harrif mula menyertai LTdL pada edisi 2007. Foto FB Harrif Saleh.
A
A
A

PENAMPILAN buat kali ke-15 dalam perlumbaan berprestij Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 akhir bulan ini amat mengujakan buat pelumba berpengalaman Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh.

Pelumba berusia 36 tahun itu mula menyertai LTdL sejak 2007 dan dalam tempoh 14 edisi tersebut menyaksikan beliau naik podium sebanyak tiga kali.

Bagi edisi kali ini, Harrif menyasarkan untuk berada di podium buat kali keempat dan bertekad menggunakan pengalaman sedia ada bagi merealisasikan impian itu.

“Sejarah peribadi buat saya kerana telah 15 kali membuat penampilan di LTdL. Saya cuba untuk berada di kelompok hadapan, lima terbaik, jadi kalau ada podium sekurang-kurangnya tiga terbaik.

“Semua orang impikan podium. Pengalaman selama 15 kali beraksi untuk LTdL saya akan memanfaatkan sebaik mungkin apabila beraksi nanti," katanya.

Selain Harrif, lima lagi pelumba yang bakal mengalas cabaran TSG ialah Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Mohd Nur Aiman Mohd Zariff dan Muhd Nur Aiman Rosli selain dua pelumba import, Anatolii Budiak dan Andreas Miltiadis.

“Saya berterima kasih kepada TSG kerana memberi lagi peluang untuk beraksi di LTdL 2024. Bagi edisi kali ini pasukan-pasukan yang datang pun memang hebat. Jadi, saya dan pasukan akan memberi saingan dan cabaran sengit kepada mereka,” ujar Harrif.

Beliau pernah mencetak nama selaku pemenang peringkat kedua perlumbaan LTdL edisi 2019 yang bermula di Senawang ke Melaka.

Artikel Berkaitan:

Momentum tersebut diteruskan pada edisi perlumbaan LTdL 2020 apabila Harrif cemerlang mengungguli dua peringkat perlumbaan, peringkat kelima dari Kuala Kubu Bharu ke Ipoh dan peringkat ketujuh dari Bagan ke Alor Setar.

LTdL 2024 akan membuka tirai perlumbaan pada 29 September ini hingga 6 Oktober dengan kayuhan peringkat pertama bermula di Pulau Langkawi dan Bintulu, Sarawak menjadi lokasi terakhir peringkat kelapan perlumbaan melibatkan kayuhan keseluruhan 1,227.2 kilometer.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!